UCAPUTAMA PENGETUA SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CHERANG RUKU SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH TAHUN 2006.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur saya kehadirat Allah SWT kerana sekali lagi dengan izin dan limpah kurniaNya, kita dapat bersama meraikan Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku.
Tema Hari Guru tahun ini ‘Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan’ merupakan satu tema yang bertepatan dengan hasrat dan usaha untuk menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang menjelang tahun 2010. Visi untuk kemenjadian Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang menjelang tahun 2010 boleh dicapai melalui pendidikan bestari. Visi ini perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui harapan dan ucapan tetapi dengan perbuatan dan amalan seharian di kalangan guru, kakitangan sokongan dan murid-murid sebagai anggota warga Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku.
Beberapa strategi boleh dilaksanakan untuk menjayakan pendidikan bestari, seterusnya menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang menjelang tahun 2010.
Strategi yang pertama ialah melaksanakan Tadbir Urus Yang Baik (Good Governance). Guru-Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku perlu sedar bahawa ‘Core Business’ atau tugas utama ialah berfokus kepada pelaksanaan kurikulum. Guru mengajar dan murid belajar. Guru menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah mencapai tahap pendidikan bestari.Guru hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti kokurikulum ke arah penyuburan IQ, EQ, EQ dan ESQ murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu.
Guru perlu memahami perubahan dan menerima perubahan. Guru perlu mengiringi perubahan dan tidak ditinggalkan oleh perubahan. Guru menjadi agen perubahan masyarakat bukan masyarakat mengubah guru. Guru mesti berkualiti melaksana pendidikan bestari sebelum boleh menjadikan muridnya berkualiti dan bestari. Guru bukan sahaja melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah tetapi juga pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah. Aspek perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek ke arah pembinaan sahsiah mulia dan kehidupan bagi masa depan murid perlu diberi keutamaan.
Justeru itu guru dan murid perlu membuat refleksi diri dengan melihat di mana kita berada sekarang. Apakah peranan dan tanggongjawab kita dan ke mana matlamat perjuangan kita. Apakah sumbangan kita sudah memadai dan berada pada tahap cemerlang. Apakah kita sekadar melihat perubahan atau perubahan meninggalkan kita. Umpama seorang penumpang yang ditinggalkan keretapi atau seperti seorang yang berada dalam rumah kaca.Sekadar melihat perubahan tanpa berasa apa-apa atau berbuat apa-apa. Hanya sekadar tersenyum sinis sambil menyanyikan lagu Bangau Oh Bangau.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah termasuk pengurusan bilik darjah yang kondusif perlu diberi keutamaan untuk mewujudkan pendidikan bestari. Wujudkan bilik darjah yang ceria dan suasana yang aman dan nyaman menyelubungi bilik darjah. Muridnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dalam situasi yang menyeronokan terpancar di wajah setiap murid.
Strategi kedua ialah mengurus masa yang bermanfaat.Guru dan murid-murid perlu menggunakan masa yang ada dan yang ditetapkan dalam jadual waktu dan takwim sekolah secara optimum dengan berhemah dan bijaksana. Guru perlu menjauhkan diri dan menggelakkan diri dari melakukan aktiviti yang tidak bersangkut paut dengan ’Core Business’. Masa perlu diurus dengan berhemah dan teliti agar ia memberi pulangan berganda. Guru perlu masuk kelas dan mengajar dengan bestari.Tidak membuang masa dengan berborak kosong di kantin atau bilik guru. Masa yang diperuntukan dalam di dalam jadual waktu pengajaran dan pembelajaran digunakan dengan baik untuk menmdapat pulangan berganda yang maksimum.
Guru perlu datang awal 15 minit dari loceng pertama dibunyikan dan tidak akan berasak-asak menulis kehadiran di kaunter pejabat am kerana waktu itu sepatutnya guru telah berada di bilik darjah untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru pulang 15 minit lewat agar tidak berlumba-lumba pulang dengan murid-murid. Pastikan semua murid telah pulang, barulah guru boleh pulang. Datang lah ke sekolah dengan riang dan pulang dengan aman dan tenang.
Strategi ketiga ialah meningkatkan integriti iaitu kebolehpercayaan sebagai seorang guru berkualiti dan cemerlang. Sebagai seorang guru hendaklah memahami dan melaksanakan bidang tugas dan tanggongjawab yang diamanahkan.Di samping melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru diberi tanggongjawab sebagai wakil ibu bapa di sekolah. Dalam istilah bahasa latin disebut ’In Loco Parentis’ . Tanggongjawab bermula daripada guru mata pelajaran, guru kelas sehingga guru penasihat bagi aktiviti kokurikulum dan sebagainya. Tanggongjawab ini mesti diberi fokus yang betul. Murid-Murid dibimbing dan diberi pendidikan bestari agar berilmu pengetahuan tinggi, memiliki kepintaran pelbagai dan bersahsiah cemerlang untuk menyedia tenaga kerja yang ’compatible’ dengan pasaran kerja pada masa depan.
Setiap murid dapat dilatih dan berkemahiran tinggi serta dijelmakan perwatakan tersendiri melalui etos dan budaya sekolah. Murid mempunyai watak cemerlang, berbudi bahasa, taat kepada agama dan Tuhan, berilmu dan berintelek, ada daya ketahanan fizikal, bersemangat sukan (sportmanships) dan bersendikan disiplin yang tinggi.
Guru terlibat secara langsung dengan aktif sebagai guru penasihat olahraga dan permainan, guru penasihat persatuan dan kelab dan sebagai penasihat unit beruniform. Oleh itu setiap penglibatan guru itu akan memberi makna yang penting kepada bidang olahraga dan permainan, persatuan dan kelab serta unit beruniform. Setiap tahun pelbagai aktiviti kokurikulum dilaksanakan melibatkan tenaga, masa dan kewangan yang tidak sedikit. Justeru itu diharapkan perancangan sepanjang tahun, bulan dan minggu disediakan dan aktiviti kokurikulum dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada murid-murid. Jangan jadikan aktiviti kokurikulum sebagai membebankan guru dan murid-murid. Langkah proaktif ke arah peningkatan dan pemantapan aktiviti perlu diberi tumpuan sewajarnya. Jangan jadikan aktiviti kokurikulum sekadar memenuhi tuntutan PPD, JPN dan KPM. Setelah menggunakan tenaga, masa dan kewangan yang bukan sedikit tetapi hasilnya tidak seberapa atau tanpa hasil.
Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pasukan PBSM, Kadet Polis, Pengakap dan atlet sekolah di atas kejayaan cemerlang tahun ini. Pasukan olahraga telah mencapai kedudukan ke-4 di PPD Pasir Puteh/Machang. Pasukan PBSM dan Kadet Polis yang terlibat menjayakan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan serta kejayaan Pasukan Pengakap memperolehi kejayaan sepanjang pelaksanaan Kem Pengakap peringkat PPD Pasir Puteh/Macahng. Saya ingin merakam ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar asrama yang telah menjuarai Anugerah Asrama Terbilang peringkat PPD Pasir Puteh/Machang dan akan menyertai pertandingan ASAT peringkat Negeri Kelantan.
Strategi keempat ialah meningkatkan prestasi pencapaian akademik. Pencapaian akademik sangat penting kerana apa-apa pun usaha kita pada akhirnya kecemerlangan akademik menjadi kriteria utama untuk mengukur prestasi kecemerlangan sekolah selain kokurikulum dan sahsiah.
Untuk menjana kecemerlangan akademik telah diperkenalkan Lengkok Pencapaian Akademik. Murid-murid perlu menyediakan fail dan membuat Lengkok Pencapaian Akademik bagi setiap mata pelajaran. Terutama murid yang akan menduduki PMR, SPM dan STPM.TOV dan ETR setiap mata pelajaran ditentukan dan menentukan ATR yang sepatut dicapai.
Bermula dengan TOV itu dilaksanakan OTI bagi setiap pencapaian yang dicapai oleh murid-murid berdasar ujian pengesanan, ujian penggal dan percubaan atau akhir tahun.Kemudian dibuat graf TOV dan OTI untuk melihat ETR , iaitu sasaran pencapaian sama ada di bawah atau di atas ETR. Jika keputusan di bawah ETR , maka perlu dilaksana aktiviti pemulihan.Jika keputusan di atas ETR dirangka aktiviti pengkayaan agar ATR berada pada tahap setinggi mungkin atau cemerlang.
Saya menaruh harapan tinggi agar guru tidak menganggap membuat Lengkok Pencapaian Akademik satu kerja yang membebankan dan remeh. Graf ini perlu dibuat sendiri oleh murid dengan bimbingan guru mata pelajaran dan guru tingkatan agar murid dapat melihat pencapaian akademiknya sebagai persediaan untuk peperiksaan sebenar PMR, SPM dan STPM nanti. Jika Lengkok Pencapaian Akademik dapat dilaksanakan secara berkesan maka tidak ada sebab kecemerlangan akademik tidak dapat dicapai. Ini kerana murid-murid tentu faham hala tuju matlamat dan visi ke arah kecemerlangan yang perlu dicapai oleh setiap daripada mereka.
Anggapan bahawa murid kita lemah, pencapaian sederhana dan sekolah kita bukan sekolah kawalan atau premier perlu dikikis dari pemikiran. Kita boleh bersaing dengan semua sekolah jika usaha kerja buat dan komited ke arah kecemerlangan dan berusaha merealisasi kecemerlangan pendidikan. Buktinya keputusan STPM pada tahun 2005 kita dapat pencapaian cemerlang.Seorang pelajar kita dapat 5 prinsipal A dan 43 orang pelajar kita mencapai GPMP tahap 3 serta peratus lulus 98.31% tanpa ada yang gagal.
Akhir kalam, sempena Sambautan Hari Guru 2006 ini, marilah kita bersama-sama berazam dan bekerja agar amanah yang diserahkan kepada kita oleh setiap ibu bapa dapat kita tunaikan sebaik mungkin. Marilah kita bertekad agar tahun ini usaha kita dimanfaatkan kepada murid kita. Marilah kita bersama merancang dan melaksana dengan teliti agar program, projek dan aktiviti dapat meningkatkan intergriti atau kebolehpercayaan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku dan membuah kecemerlangan kepada anak didik kita.
Ingatlah masa depan anak didik kita amat bergantung kepada kejayaan dan kemantapan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah serta program, projek dan aktiviti pendidikan yang kita rancang dan laksanakan. Kejayaan itu bergantung kepada kecemerlangan setiap individu kita jika dapat melaksanakan pendidikan bestari dan menjadi guru berkualiti. Amanah yang kita pikul amat berat dan bukan sahaja sahaja akan dinilai semasa kita berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku malah selepas kita tiada lagi di sini.
Saya doakan semoga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku menjadi guru berkualiti dan dapat melaksana pendidikan bestari serta dapat bersama-sama dengan saya dan dapat mengajar dengan ikhlas, dengan penuh komited kepada tugas masing-masing. Saya harap agar Sambutan Hari Guru Tahun 2006 dapat menjana mutu kerja semua guru dan murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku mencapai dan mencipta kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang. Usaha menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang akan menjadi kenyataan. Semoga setiap azam, setiap doa dan setiap impian dicapai dan terlaksana serta menjadi kenyataan menjelang tahun 2010.
Saya sudahi ucaputama ini dengan memohom maaf dari hujung rambut sehingga hujung kuku jika terkasar bicara dan tersilap kata. Mana yang baik datang daripada Allah SWT dan manakala kelemahan itu adalah kelemahan saya sendiri.
Wabillahi Taufik Walhidayah.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kash cikgu !
25 Mei 2006.
Ahad, 16 November 2008
UCAPUTAMA HARI GURU SMKCR TAHUN 2006.
Posted by NoddenBerek12KBR at 10:25 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan