Isnin, 24 November 2008

KEPIMPINAN DALAM ISLAM.

SINOPSIS.

Kertas kerja ini cuba menghuraikan beberapa aspek asas ciri kepimpinan konvensional dan ciri kepimpinan Islam. Terdapat pelbagai pandangan sarjana sains sosial dan pemikir Islam mengenai ciri-ciri kepimpinan yang berkesan. Para sarjana sains sosial mengandaikan bahawa kejayaan seseorang pemimpin untuk mencapai matlamat kepimpinannya bergantung kepada stail kepimpinan dan keupayaan seseorang pemimpin itu menggunakan kuasa, pengaruh dan kewibawaan bagi menarik sokongan pengikutnya. Kepimpinan itu dikatakan berjaya jika dapat mencapai matlamat dan dapat memenuhi aspirasi orang yang dipimpin. Dalam tassawur Islam, kepimpinan itu dikatakan berjaya mencapai matlamat seandainya ciri kepimpinan itu dapat merealisasikan cara hidup (ways of life) yang akhirnya membawa kepada keberkatan dan keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

MUKADIMMAH.

Pelajar akan menjadi aset penting masa depan negara. Pelajar yang belajar di sekolah kini harus memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:-

a. Percaya kepada Tuhan.
b. Berilmu pengetahuan.
c. Bertanggongjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
d. Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
e. Memiliki sahsiah yang seimbang dan bersepadu.

(Datuk Dr. Wan Zaid Mohd Noordin; Kertas kerja Reformasi Pendidikan Dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Strategi, Cabaran dan Harapan,
Dalam Gerakan Dakwah Dan Orde Islam Malaysia: Strategi Masa Depan,
ABIM, 1993, m.s 57).

Di kalangan pelajar-pelajar ini pada suatu hari nanti akan menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang. Dengan itu pelajar-pelajar diharapkan dapat melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang sempurna dan akhlak yang mulia. Wajah masa depan negara akan bertambah maju dan makmur jika generasi pelajar hari ini dibekalkan dengan Tarbiyyah Islami yang syumul.

KONSEP KEPIMPINAN KONVENSIONAL.

Para sarjana sains sosial telah membuat kajian tentang tingkahlaku pemimpin dalam pelbagai organisasi sosial masa lampau dan kini.

’Kepimpinan secara amnya adalah semata-mata bermakna pengaruh. Satu seni atau proses mempengaruhi orang supaya mereka dapat berusaha secara sukarela ke arah pencapaian matlamat bersama’

( Kootz, Harold dan O’Donnel; Management System and Contigency Analysis of Managerial
Functions, McGraw-Hill, New York, 1976, m.s 587).

‘Kepimpinan dapat dilihat sebagai proses interaksi di antara individu dengan kumpulan atau secara khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotaikumpulan. Setiap yang terlibat dalam proses interaksi ini boleh dianggap memegang watak-watak tertentu yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Asas yang membezakan tadiia lah pengaruh, ia itu pemimpin mempengaruhi dan pengikut mentaati atau akur’

(Gorden, Thomas; Group-Centered Leaderships, Houghton Mifflin,New York, 1955, m.s 51).

‘Kepimpinan adalah satu proses pengaruh mempengaruhi di antara pemimpin dengan
pengikut. Walaupun pemimpin mempunyai kuasa tetapi kekuatan pengaruh lebih
bergantung kepada pujukan daripada paksaan. Proses kepimpinan selalunya melibatkan
pertalian pengaruh yang bersifat dua arah, dan tujuan utama ia lah untuk menmcapai
matlamat bersama. Jadi, kepimpinan bukan hanya tanggongjawab pemimpin tetapi
memerlukan usaha kerjasama daripada pengikiut-pengikut’.

(Hollander, Edwin P; Leaderships Dynamics, Free Press, New York, 1978, m.s 1-2).


‘Kepimpinan dapat dijelaskan sebagai satu proses mempengaruhi ke atas kumpulan dalam
situasi dan usaha yang khusus yang dapat merangsang mereka untuk berusaha secara
sukarela bagi mencapai matlamat bersama’.

(Gribbon, James J; Effective Managerial Leadership, American Management Association,
New York, 1972, m.s 9).


Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa kepimpinan mempunyai perkaitan dengan keseluruhan aktiviti organisasi serta mempunyai pertalian yang rapat dengan kuasa, pengaruh dan kewibawaan. Kuasa, pengaruh dan kewibawaan pemimpin membantunya merancang, menyusun dan menentukan matlamat ke arah mencapai matlamat yang dirancang. Pemimpin mesti berkebolehan mempengaruhi pengikut secara berterusan. Gelagat kepimpinan hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran.


Pemimpin mesti mempunyai keupayaan memujuk supaya pengikut berusaha ke arah pencapaian matlamat. Kepimpinan yang dinamik, inovatif dan kreatif akan menghasilkan prestasi kerja dan mutu perkhidmatan yang cemerlang. Undang-Undang dan peraturan hanya menjadi alat asas mengawal perlakuan pengikut agar berusaha mencapai matlamat organisasi dan negara.


’Kepimpinan dapat didefinisi sebagai kejayaan seseorang memimpin orang lain untuk
melaksanakan satu-satu kerja ke arah pencapaian satu-satu objektif atau matlamat’.

(Ahmad Atory Hussain; Tingkah Laku Organisasi Dalam Pengurusan Moden, DBP,1986,
m.s 133).

Pada diri pemimpin itu ada beberapa komponen kepimpinan. Komponen-komponen yang harus ada pada seseorang pemimpin, antaranya:-

a. Sifat-Sifat peribadi.
b. Gaya pimpinannya.
c. Keadaan atau bentuk pekerjaannya.
d. Keperluan pengikut-pengikutnya.

(Ahmad Atiory Hussain, ibid, m.s 133).


‘Pimpinan akan menentukan sejauh mana pengaruh, kuasa dan kewibawaan memainkan
peranan sepenuhnya. Seseorang pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang
berpengaruh, mempunyai kuasa di dalam lingkungan pangkat atau status dan kewibawaan’

(Ahmad Atory Hussain, ibid, m.s 139).




KONSEP KEPIMPINAN ISLAM.

Islam mengakui dan mengiktiraf tentang perlu adanya pemimpin dalam setiap sistem sosial seperti keluarga, komuniti, oraganisasi dan negara.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud;

‘Setiap kamu adalah pemimpin dan mestilah bertanggongjawab di atas kepimpinan kamu. Seseorang pemimpin (Ketua) yang memimpin orang ramai adalah bertanggongjawab di atas kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dan bertanggongjawab dalam urusan rumahtangga suaminya. Anak bertanggongjawab ke atas harta bapanya. Hamba bertanggongjawab atas harta tuannya. Ketahuilah , sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggongjawab ke atas pimpinan kamu’.

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).


Berdasarkan hadith tersebut bahawa setiap individu diberi tanggogjawab di dalam menggendalikan segala urusan dan pentadbiran. Manusia adalah wakil Allah SWT (Khalifah Fil Ardhi) di bumi bertanggongjawab untuk mengatur, mentadbir dan memimpin segala urusan hidup manusia.

Setiap pemimpin Islam yang diberi kuasa, pengaruh dan kewibawaan semestinya melaksanakan amanah kepimpinan seperti yang digariskan oleh AlQuran, hadith dan ijmak ulama. Pemimpin Islam mesti berusaha memakmur, menegak keadilan serta berkesungguhan berusaha mempertingkatkan ketinggian nilai dan martabat manusia ke arah kesempurnaan sebagai makhluk Allah SWT yang dimuliakan di muka bumi.


Ada beberapa istilah yang biasanya terdapat di dalam Al-Quran mengenai pemimpin dalam sistem sosial sama ada secara semulajadi atau dilantik yang menentukan corak kepimpinan umat Islam. Di antaranya ia lah:-


a. Imam/Imamah (Penunjuk jalan atau memimpin).
b. Khalifah (Pentadbir dan wakil Allah SWT di bumi).
c. Amir Al-Mukminin (Ketua Negara Islam atau Pemerintah Islam).
d. Uli Al-Amri (Orang yang berkuasa).
e. Mursyid (Penunjuk).
f. Syeikh (Ketua).
g. Murabbi (Pendidik).


Kepimpinan Islam semestinya dijuruskan kepada peranan-peranan berikut:-


a. Islah (Memperbaiki) masyarakat.
b. Berusaha menegakkan Islam sebagai Addin (Ways of life).
c. Sentiasa menjaga kerahmatul-insan (Nilai kemanusiaan).
d. Memakmur bumi Allah SWT.
e. Menjalankan urusan amal makruf nahi mungkar.

(Mohd Amin Salih; Kertas kerja Kepimpinan Menurut Pandangan Islam, Dalam: Kecemerlangan Pentadbiran: Dasar dan Amalan Dalam Islam, INTAN, 1991,
m.s 102-105).


Matlamat utama kepimpinan seorang pemimpin Islam ia lah:-

a. Untuk pengabdian dan perhambaan diri kepada Allah SWT.
b. Untuk mencapai keredhaan, keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
c. Untuk mencapai kesempurnaan akhlak yang mulia (Insanul Kamil).
d. Untuk menyeru kepada perbuatan yang baik dan mencegah kejahatan (Amal makruf,
nahi mungkar).
e. Untuk mencapai kebahagiaan, kesenangan, kesejahteraan dan keselamatan manusia
sejagat di dunia dan akhirat.

(Mohd Amin Salih; Ibid, m.s 105-106).


Pemimpin dan kepimpinan hendaklah diamanahkan kepada orang yang sebenarnya beriman kepada Allah SWT, beamal soleh serta disusuli dengan kecerdasan akal yang mampu mengimbangi antara keperluan rohani, intelek, emosi dan jasmani untuk kebahagiaan dan kesejahteraan serta keselamatan duniawi dan ukhrawi.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:-

’Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran’.Sahabat bertanya,’Bagaimanakah mensia-siakan?’ Rasulullah SAW menjawab,’Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya’.

( Hadith riwayat Bukhari).


’Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya(yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di anatara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (Suruhan Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat. Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Uli-Amri (Orang-orang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah Rasul Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya’.

(Surah An-Nisa, ayat 58-59).


CIRI-CIRI KEPIMPINAN.


1. Pemimpin Islam mesti mempunyai ciri kepimpinan berteraskan kepada Al-Quran
hadith dan ijmak ulama. Sifat utama kepimpinan Islam ia lah sifat mukmin.
Di antara sifat utama kepimpinan yang bersifat mukmin ia lah Siddiq, Amanah,
Tabliq dan Fatonah.


’Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang
menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali
Kebencian kamu terhadap sesuatu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu hampir kepada
takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan. Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman
dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar’.

(Surah Al-Maidah, ayat 8-9).


’Allah menjanjikan orang-orang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai
Umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka Khalifah-Khaliafah yang memegang
kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang
sebelum mereka Khalifah-Khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan
mengembangkan agama mereka (Agama Islam) yang telah diredhai Nya untuk mereka; Ia
juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan ( dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada Ku dengan tidak mempersekutukan
sesuatu yang lain dengan Ku. Dan ingatlah sesiapa yang kufuringkar seesuatu itu, maka
mereka itulah orang-orang yang durhaka’.

(Surah An-Nur, ayat 55).

2. Seseorang pemimpin Islam mesti mempunyai ciri kepimpinan berlandaskan akhlak
yang mulia.Beberapa tokoh pemikir Islam telah merumuskan beberapa kriteria yang
sepatutnya ada dan dimiliki oleh seseorang pemimpin Islam.


a. AL FARABI.

• Kesempurnaan anggota tubuh.
• Pengetahuan yang luas.
• Menunai apa yang dikata.
• Kesempurnaan ingatan.
• Berkebolehan menyampaikan sesuatu pendapat dengan benar dan bernas.
• Menghindari permainan percuma dan sia-sia (Politik kotor).
• Mengawal hawa nafsu.
• Bersikap adil tanpa paksaan.
• Berani kerana benar dan takut melakukan kesalahan.
• Mempunyai kekayaan sekadar untuk keperluan tanggongjawab diri.



b. IBNU KHALDUN.

• Suka memaaf kesalahan yang tidak melanggari syariat Islam.
• Suka melindungi pihak yang lemah dan miskin serta fakir.
• Menghormati tokoh agama, ulama dan orang yang berumur.
• Suka mendengar teguran yang membina.
• Berpengetahuan luas tentang selok- belok pemerintahan.
• Berkeupayaan menggunakan kuasa dan pengaruh kepada pegawai, ketua atau wakil
kerajaan dengan baik.
• Melantik orang yang layak dan berkebolehan sebagai wakil kerajaan.
• Hidup dengan gaya hidup sederhana.






c. AL GHAZALI.

• Mempunyai daya intelek yang tajam (kemahiran berfikir).
• Berpengetahuan dan berfungsi (pemikiran strategik).
• Berdiplomasi dan berpandangan jauh serta tegas.
• Berwawasan dan memahami aspek pemerintahan.
• Berwibawa menentukan semua pegawai kerajaan bekerja dengan tekun dan
sempurna.

(Mohd Amin Salih; Ibid, m.s 110-111)


RUMUSAN.


Ciri-ciri kepimpinan dalam Islam dapat dirumuskan kepada tiga aspek yang utama ia itu:-

1. Tanggongjawab/Amanah.
2. Sikap
3. Perawakan dan peribadi.


Tanggongjawab/Amanah.


1. Menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah, setia, bekerja dengan
penuh minat, berdisiplin dan dedikasi.
2. Sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan tugas dan perkhidmatan serta
tidak mementing diri sendiri.
3. Sentiasa meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi serta bekerja dengan
cemerlang.
4. Membuat pertimbangan yang teliti dan adil sebelum membuat keputusan serta
tegas dalam melaksanakan amanah dan tanggongjawab kerja dan perkhidmatan.


Sikap.

1. Mempunyai sikap sensitif terhadap persekitaran kerja dan alam sekeliling
serta berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dan alam sekeliling.
2. Sentiasa bersikap positif dan bertanggongjawab.
3. Mewujudkan budaya ’reflective rationality’ di samping ’technical rationality’.
4. Berfikiran terbuka (open minded) dan sedia menerima teguran membina dari
semua pihak untuk faedah organisasi dan negara.
5. Sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada masalah yang dihadapi oleh
orang bawahan atau rakyat.
6. Tidak mementing diri, keluarga dan sahabat handai sahaja.
7. Sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh rakan sejawat.
Baik pihak atasan atau pun rakan sejawat di bawahnya.


Perwatakan dan Peribadi.

1. Mempunyai peribadi yang mulia, berbudi pekerti dan perawakan yang baik,warak,
tawadduk dan takwa.
2. Sentiasa bersabar dan tenang dalam menghadapi masalah dan cabaran.
3. Menangani segala masalah dengan bijaksana serta menangani nafsu yang buruk.
4. Sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dalam semua bidang.
5. Memiliki kepakaran dam bidang pengurusan pentadbiran dan pengurusan projek.
6. Berusaha menjaga hubungan baik bagi setiap pekerja dan golongan rakyat.
7. Beriman, bertakwa dan ehsan untuk menggelakkan sikap takbur dan bongkak
atau meninggi diri.

0 comments: