Selasa, 18 November 2008

UCAPUTAMA PENGETUA SMK CHERANG RUKU SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU TAHUN 2007.

Bismillahir Rahmanir Rahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadirat Allah SWT kerana dengan izin dan hinayat Nya pada hari ini SMK Cherang Ruku dapat menyambut Hari Guru tahun 2007 dengan tema ’ Guru Penjana Modal Insan Gemilang’. Pada hari ini merupakan Sambutan Hari Guru yang ke-36 dan negara Malaysia meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50. Sambutan Hari Guru tahun ini memberi makna yang amat besar kerana negara Malaysia berada dalam kemakmuran, aman dan maju.

Warga SMK Cherang Ruku perlulah berasa bangga dan bersyukur kerana pada tahun 2006 SMK Cherang Ruku telah mulai menggorak langkah untuk merealisasi visi dan misi sekolah untuk menjadi sekolah cemerlang menjelang tahun 2010. Pada tahun 2007 ini tema Hari Guru ‘Guru Penjana Modal Insan Gemilang’ memberi signifikan yang mana SMK Cherang Ruku telah bergerak sejajar dengan arus perdana dan telah menggorak langkah melaksana transformasi pendidikan berkualiti dengan peranan utama akan didokongi oleh semua warga guru SMK Cherang Ruku.Guru-Guru perlulah bekerja sepasukan bagi menjayakan dan merealisasi visi sekolah ke arah sekolah cemerlang menjelang 2010. Tumpuan utama kecemerlangan ialah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah murid-murid SMK Cherang Ruku.Kerja sepasukan ini memerlukan guru memiliki komitmen dan keazaman yang kuat tanpa mengira kepentingan peribadi dan keuntungan diri dalam jangka pendek tetapi berusaha melahirkan modal insan gemilang pada masa depan.

Perkara utama ia lah berpegang kepada prinsip guru mengajar murid belajar. Tugas utama atau ‘Core Business’ perlu diberi keutamaan. Sebelum guru-guru ingin menjadikan murid-murid sebagai modal insan gemilang, maka guru-guru perlu memiliki minda kelas pertama. Guru-Guru mestilah menjadi ‘rule model’ kepada murid-murid. Pepatah Melayu ada menyebut ‘Guru Kencing Berdiri. Murid Kencing Berlari’.


Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.


Guru-Guru hendak berusaha melonjakkan tahap kecemerlangan SMK Cherang Ruku. Pada masa kini standard kualiti pendidikan berada pada tahap 5 ia itu Sekolah Harapan. Lonjakkan yang perlu dilaksanakan ia lah ke tahap 6 ia itu Sekolah Cemerlang. Fokus utama ia lah membangun modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan menghayati nilai murni. Guru-Guru perlu memupuk semangat belajar dan menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi, menerapkan nilai, moral dan sikap positf serta membina disiplin diri di kalangan murid-murid SMK Cherang Ruku. Murid-Murid SMK Cherang Ruku mampu bersaingan di persada negara Malaysia dan jika boleh di persada antarabangsa.Pepatah Melayu ada menyebut ’ Belakang parang jika diasah boleh menjadi tajam’. Ini bermakna bahawa masa depan mereka terletak ditangan guru-guru pada hari ini.Mereka akan dapat kita lahirkan sebagai modal insan minda kelas pertama.

Justeru itu mari semua guru untuk bermuhasabah dan membuat refleksi sejauh manakah
sumbangan dan kejayaan dalam usaha memenuhi aspirasi tema Hari Guru ’Guru Penjana Modal Insan Gemilang’ telah dipenuhi yang memberi kepuasan dalam diri sebagai seorang guru.Tepuk dada tanya selera. Pada hari ini bolehlah guru-guru SMK Cherang Ruku mula berazam dan memasang niat untuk bertekad merealisasi tema Hari Guru ’Guru Penjana Modal Insan Gemilang’ dan merealisasi visi dan misi SMK Cherang Ruku untuk menjadi sekolah cemerlang menjelang tahun 2010.


Marilah semua guru mengamalkan Budaya Semut seperti berikut:-

S - Sentiasa berusaha dengan gigih.
E - Efisen.
M- Melaksana kerja dengan tekun.
U - Urusan dibereskan tanpa berlengah.
T -Tanggungjawab disempurnakan sebaik mungkin.

Peranan guru di sekolah memastikan guru mengajar dan murid belajar.

1. Mengajar dengan bestari.
2. Mendidik dengan berhemah.
3. Membimbing dengan bijaksana.
4. Menerap konsep penyayang.


Dengan itu guru-guru mesti memiliki 3 elemen kecemerlangan.

1.Extra Might - Kekuatan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi dan keinginan tanpa
batasan.
2.Extra Mind - Kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang
betul dan tepat.
3.Extra Mile - Berpandangan jauh dan mempunyai ‘ High performance speed’
dan ‘High performance work culture’ untuk merancang, mengelola,
melaksan memantau dan menilai.


Elemen kecemerlangan itu perlu disokong oleh 4 elemen sokongan berikut:-

1. Pantauan Emosi (EQ).
2. Ilmu Pengetahuan (IQ).
3. Kesedaran Sosial (SQ).
4. Kekuatan Dalaman (ESQ).


Apakah yang perlu dilaksana dan menjadi kemestian semua guru SMK Cherang Ruku ialah seperti berikut:-

1. Muhasabah – Menilai diri sendiri.
2. Muaqabah - Sendiri mendidik diri.
3. Musyaratah – Membuat perjanjian diri.
4. Muraqabah - Berasa kehadiran Allah.
5. Muatabah - Menahan diri dari segala kekejian.
6. Mujahadah - Berusaha bersungguh-sungguh.

Pada akhirnya semua guru SMK Cherang Ruku melaksanakan kerja sebagai satu fisabilillah.

Saya doakan semoga semua guru SMK Cherang Ruku dapat berusaha melahirkan modal insan gemilang. Semua guru SMk Cherang Ruku menjadi guru berkualiti dan dapat melaksanakan pendidikan bestar serta dapat bekerja bersama-sama dengan saya dan dapat mengajar dengan ikhlas, dengan penuh semangat serta komited kepada tugas masing-masing.Saya menaruh harapan yang tinggi agar Sambautan Hari Guru dengan tema ’Guru Penjana Modal Insan Gemilang’ dapat menjana mutu kerja semua guru dan mencapai serta dapat mencipta kecemerlangan SMK Cherang Ruku dan murid-muridnya. Usaha menjadikan SMK Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang tahun 2010 akan menjadi kenyataan. Semoga setiap azam, setiap doa dan setiap impian serta harapan akan membuahkan hasilnya di tahun 2010 nanti.


Saya sudahi ucaputama saya ini dengan memohon maaf jika terkasar bahasa dan tersilap bicara. Mana yang baik datang dari Allah dan mana yang tidak baik ia lah kelemahan saya sendiri. Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali.Perkara yang baik buatlah teladan. Perkara yang tidak baik buatlah sempadan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Sebagai seorang pengetua, saya tidak terkajang batu sepulau.Guru perlu menjadi lautan yang luas. Di dalam lautan itu murid menjadi ikan yang hidup di dalamnya.

Wabillahi Taufik Walhidayah.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima Kasih Cikgu !

10 Jun 2007.

2 comments:

fadlyFZ berkata...

Assalamualaikum... cikgu apa perkembangan semasa SMKCR? saya bekas pelajar..

NoddenBerek12KBR berkata...

SMK Cherang Ruku sekarang diberi penarafan sebagai sekolah cemerlang dan sekolah bestari 3 bintang.