Selasa, 26 Mei 2009

UCAPUTAMA PENGETUA SEMPENA HARI GURU PERINGKAT SMK CHERANG RUKU TAHUN 2009.

Bismillahhir Rahmannir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Guru-Guru yang dihormati,

Marilah kita bersama memanjat kesyukuran kehadirat Allah S.W.T kerana dengan kudrat dan inayatNya pada hari ini dapat semua kita berkumpul di Dataran SMK Cherang Ruku untuk menyambut Hari Guru serentak bagi sekolah-sekolah di Negeri Kelantan Darul Naim . Tema Hari Guru tahun ini ialah ” Guru Pembina Negara Bangsa”. Tema ini memberi pengiktirafan yang amat tinggi tentang peranan dan tanggongjawab guru yang akan mencitra negara Malaysia yang kita sayangi di masa depan. Di tangan guru terletak satu tugas melahirkan modal insan minda kelas pertama.

Pembinaaan Negara Bangsa yang terbilang untuk bersaing di peringkat global memerlukan kita warga guru memperlengkapkan diri dengan segala kekuatan dari segi IQ, SQ, EQ dan ESQ dan guru perlu memiliki minda kelas pertama barulah akan dapat melahirkan murid minda kelas pertama.

Marilah kita bermuhasabah membuat refleksi akan tugas dan tanggongjawab yang telah kita lakukan dan akan kita lakukan untuk merealisasi hasrat kepimpinan negara kita bahwa “Rakyat di dahulukan dan pencapaian diutamakan”.Sebagai seorang penjawat awam kita barisan guru SMK Cherang Ruku perlu berpegang kepada prinsip integriti dan akautabiliti dalam melaksana tugas menyampaikan ilmu dan mendidik agar hasrat menjaya visi sekolah untuk menjadi sekolah cemerlang menjelang tahun 2010 akan dapat direalisasi.

Saya ingin mengucapkan syabas di atas kejayaan SMK Cherang Ruku meningkatkan pencapaian akademik bagi keputusan Peperiksaaan PMR, SPM dan STPM tahun 2008 yang berada pada tahap cemerlang dan dapat bersaing dengan sekolah-sekolah kawalan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan. Kecemerlangan yang dicapai tentunya kerana komitmen dan kerja kuat yang bersungguh secara berterusan dikalangan warga guru.Saya menaruh harapan yang tinggi dan mengharapkan pada tahun 2009 dapat kita barisan guru menggunakan segala kekuatan dan peluang yang ada dan meminimumkan segala ancaman dan kelemahan yang perlu diubah dan dijadikan sebagai satu cabaran dan peluang untuk kita menjadikan keputusan peperiksaan PMR, SPM dan STPM tahun 2009 mencapai kejayaan yang berganda.Sekaligus memberi kepuasan dan kegembiraan kita semua di atas penat jerih yang bersama kita harungi di tahun 2009 ini.

Kejayaan juga dicapai dalam bidang kokurikulum. Kita patut berbangga dengan pasukan Dikir Barat, Pasukan Tarian Zapin Asrama dan atlit kita yang menempa kejayaan di peringkat MSSK PPD Pasir Putih sehingga dapat mewakili peringkat negeri dan pasukan Dikir Barat dapat mewakili peringkat kebangsaan dan menjadikan SMK Cherang Ruku sinonim dengan kehebatan pasukan Dikir Barat yang terbilang.Tahniah kepada semua jurulatih dan pendikir sekolah.

Mutu disiplin murid berada pada tahap amat baik.Tahniah diucapkan kepada guru tingkatan yang bertindak tegas terhadap murid yang cuba menimbulkan masalah salahlaku dan dapat mencegah pada peringkat awal. Pendekatan mencegah sebelum parah patut diberi keutamaan.Peningkatan mutu disiplin menyumbang kepada peningkatan pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum SMK Cherang Ruku.



Pendekatan 5P dalam menangani masalah disiplin boleh memberi impak berganda kepada hasrat SMK Cherang Ruku untuk menjadi sekolah cemerlang.

1. Peluk - Sentuhan guru, kemesraan dan kecaknaan.

2. Pujuk - Membantu murid bermasalah dengan sabar.

3. Prihatin - Sentiasa beri bantuan dan perhatian.

4. Puji - Menghargai setiap kerja murid.

5. Pengiktirafan – Setiap murid ada potensi yang perlu digilap dan diberi perakuan.

Guru-Guru dan murid-murid yang dikasihi,

Pada hari ini marilah kita bersama meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat SMK Cherang Ruku untuk menyatakan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan guru SMK Cherang Ruku yang telah mendidik murid-murid untuk menjadi rakyat Malaysia yang cemerlang , gemilang dan terbilang.Ucapan terima kasih itu akan menjadi suntikan semangat kepada guru-guru untuk meneruskan perjuangan dalam mendidik, berbakti ke arah pembinaaan Negara bangsa sebagai akitek dan agen perubahan masyarakat. Sambutan Hari Guru ini sebagai satu penghargaan di atas segala pengorbanan dan jasa serta sumbangan guru yang tidak ternilai.Penghargaan ini kerana guru telah mengajar dengan bestari, mendidik dengan berhemah, membimbing dengan bijaksana dan menerap konsep penyayang. Di tangan kanan guru memegang ilmu dan di tangan kiri memegang rotan.Jadilah guru sebagai murrabi, mualim dan mujahid kerana citra masa depan negara tentunya terletak di tangan guru.

Marilah kita mengamalkan 5B.

1. Bersyukur kerana kita dilantik dan diiktiraf sebagai guru yang melaksana tugas para Anbia.

2. Berfikir dengan matang dan bijaksana.

3. Bekerja dan bertindak dengan berhemah dan bijaksana.

4. Bermuhasabah diri.

5. Bertakwa kepada Allah SWT.

Saya doakan semua guru SMK Cherang Ruku dilimpahi kerahmatan oleh Allah SWT dengan dimurahkan rezeki dan mendapat keredhaan serta keampunan di atas segala dosa dan mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Akhir kalam saya ingin mengambil kesempatan memohon kemaafan. Apa sahaja yang baik datangnya dari Allah. Segala yang tidak baik adalah kelemahan saya sebagai insan yang tidak terlepas dari membuat kesilapan dan kesalahan. Mudah-mudahan segala amal menjadi kebajikan di sisi Allah.

Wabillahi Taufik Walhidayah,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

TERIMA KASIH CIKGU !
17 Mei 2009.