SELAMAT HARI GURU CIKGU
Pada tarikh 16 Mei
meniti ucapan
selamat Hari Guru
buat insan
bergelar guru.
Ajarlah dengan menyebut nama Allah
Tuhan Maha Pencipta
didiklah dengan menggunakan pena
agar di suatu hari nanti akan lahir
modal insan minda kelas pertama
berkemahiran tinggi
berbudi luhur.
Cikgu ibarat kandil kemerlap
seperti pelita di jendela
membakar diri
menerangi
di malam gelap.
Jangan ada dusta di antara kita
dokong amanah negara
kerana guru bagai akitek
masa depan anak bangsa.
Cikgu
bila ada waktu mu
tunaikan amanah itu
tuaikan seribu harapan
jangan dibiarkan
itek di air mati kehausan
ayam di kepok mati kelapan
bunga kembang tak jadi.
Sebenarnya
guru pewaris anbia.
Haji Zainuddin Bin Harun
Pengetua
SMK Cherang Ruku
Pasir Puteh, Kelantan
16 Mei 2010.
Sabtu, 15 Mei 2010
SAJAK.
Posted by NoddenBerek12KBR at 10:49 PTG 0 comments
Isnin, 10 Mei 2010
SAJAK.
SEPANJANG PERJALANAN INI.
Bila sudah tiba waktu
semua orang akan tahu
tidak perlu sedu sedan itu
mahu tak mahu
kaki terpaksa melangkah pergi
selamat tinggal buat semua.
Sepanjang perjalanan
telah didaki gunung-ganang
telah didaki bukit bukau
cerun dan jurang dituruni
padang luas telah direntasi
telah diredah hutan belantara
telah diselami lautan luas
dengan berbekal semangat dan sebuah harapan
menjadi seorang guru
Pembina Negara Bangsa.
medan perjuangan sebuah sekolah.
Di bilik darjah
ilmu dicurah
tanpa jemu mengajar dan mendidik
akan lahir
seorang murid minda kelas pertama
berkemahiran tinggi dan berbudi luhur
patriotiknya kepada Agama, Negara dan Bangsa Malaysia.
Terima kasih
di atas segala kerjasama dan pertolongan yang ikhlas
segalanya tidak terbalas
moga Allah SWT
yang akan memberi ganjaran
walaupun sebesar zarah
Di album hati tetap terukir segala peristiwa
senyum dan ketawa
susah dan senang bersama
kalian tetap di hati ini.
Kini di hujung perkhidmatan
sesekali menoleh ke belakang
kaki terus melangkah ke depan
rupanya sudah jauh perjalanan
destinasi terakhir tentunya
akan kembali
menemui Ilahi.
Haji Zainuddin Bin Harun
Pengetua
SMK Cherang Ruku
Pasir Putih,Kelantan
11.052010.
Posted by NoddenBerek12KBR at 10:57 PTG 0 comments
Selasa, 4 Mei 2010
PENGETUA OH PENGETUA.
Pengetua sebagai peneraju utama sekolah berkesan. Kepimpinan Pengetua akan menentukan halatuju dan jatuh bangun sesebuah sekolah.Pengetua harus faham dan melaksanakan peranan sebagai kepimpinan instruksional.Kenalpasti kekuatan dan kelemahan sekolah. Pandai mengurus segala macam ancaman dan pandai mengambil peluang yang ada untuk meneruskan kelangsungan sekolah sebagai institusi pendidikan untuk melonjak kemenjadian modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
Pengetua sebagai kepimpinan instruksional mesti merangka dan melaksanakan Perancangan Strategik Sekolah dalam tempoh 3 tahun atau 5 tahun dengan merancang, melaksana dan menilai keberkesanan program, projek dan aktiviti untuk mencapai visi sekolah.
Faktor kritikal kejayaan seseorang Pengetua bergantung kepada sifat ’Towering personality’ yang perlu dimiliki. Komited menjalankan tugas harian untuk berjaya. Berkeupayaan menanam komitmen dalam diri dengan melakukan kerja dengan berhemah dan cepat serta menggelakkan kerja bertangguh.
Seorang Pengetua mesti boleh berkomunikasi secara berkesan dengan dapat mengungkapkan misi dan visi sekolah dengan cara menarik yang dapat menyentuh perasaan staf di bawahnya serta dapat mendorong semangat untuk rela bekerja dengan ikhlas dan beramanah.Pengetua perlu ada sifat agresif dengan sentiasa mendesak untuk mencapai matlamat yang dirancangkan.
Pengetua bekerja dalam semangat bermujahadah. Melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah untuk mencapai pertunjuk prestasi utama (KPI).Berkeupayaan menarik sokongan staf untuk bekerja bersama-sama dengan Pengetua dalam semua keadaan dalam suasana yang harmonis.
Pada kebiasaannya seseorang Pengetua sentiasa menghadapi halangan dan rintangan kerana tidak ada sifat ’Towering Personality’. Malas melaku seuatu penambahbaikan kerana lemah pemikiran dan mudah terpengaruh dengan keseronokan dunia serta cepat bosan dan jemu.
Isu utama ia lah kegagalan dan ketidak berkesanan Pengetua sebagai kepimpinan instruksional. Di sekolah menengah masih kedapatan pelajar yang tidak menguasai kemahiran asas linus dan numerasi. Penyampaian pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah kurang berkesan. Didapati guru mengajar tetapi pelajar tidak belajar.Sekolah menjadi tempat pelajar membuang masa. Kelemahan dapat dikesan dalam kemerosotan prestasi peperiksaan awam dari segi Gred Purata Sekolah(GPS), penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum secara sambil lewa dan peratus peningkatan keruntuhan disiplin pelajar berkaitan moral dan gejala sosial semakin meningkat.
Justeru itu beberapa langkah strategik boleh dirangka dan dilaksanakan oleh Pengetua sebagai kepimpinan utama sekolah dengan melaksanakan Pelan Tindakan Strategik dalam aspek berikut:-
1. Aspek kemuflisan sahsiah pelajar untuk menangani masalah disiplin, gejala sosial dan keruntuhan akhlak pelajar. Tugasan ini boleh dilaksanakan oleh Kaunselor, Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Pendidikan Moral melalui pengumpulan data salahlaku disiplin dan membuat penetapan TOV, ETR dan ATR.Seterusnya merangka perancangan, pelaksanaan dan penilaian aktiviti.
2. Aspek Pembudayaan Ilmu dan Inovasi dikalangan guru dan pelajar.Tugasan ini boleh dilaksana oleh Pusat Sumber dan Pusat Akses.Usaha meningkatkan suasana Pusat Sumber menjadi kondusif dan pembestarian sekolah serta Pusat sumber dan Pusat Akses sebagai koridor ilmu.
3. Semarak kokurikulum dengan mengaktifkan semula sukan dan permainan, persatuan dan kelab dan unit beruniform.Aktiviti kokurikulum dapat membentuk jati diri, memupuk perpaduan dan memupuk bakat kepimpinan pelajar. Aktiviti kokurikulum dilaksana sepanjang tahun. Jangan menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai aktiviti bermusim dan memenuhi keperluan serta arahan pihak atasan sahaja.
Posted by NoddenBerek12KBR at 7:53 PTG 0 comments