RINGKASAN EKSEKUTIF:
Kertas tugasan ini akan membicarakan tentang bagaimana Pengurusan Strategik yang diamalkan oleh Pihak Pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku dengan melaksanakan Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang Dan Program Pembangunan Insan Tahun 2006 Hingga 2010 mampu meningkatkan semangat kerja berpasukan, memotivasikan staf serta menjalinkan rasa kemesraan antara semua staf melalui pemahaman dan penghayatan hala tuju yang sama untuk mencapai visi Sekolah Menengah Cherang Ruku menjadi sekolah cemerlang menjelang tahun 2010.
Pelaksanaan Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang Dan Program Pembangunan Insan telah dapat menjana kecemerlangan di setiap peringkat termasuk bidang Pengurusan Kurikulum, Pengurusan Ko-Kurikulum, Pengurusan Hal Ehwal Murid, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Pejabat dan ICT, Pengurusan Pembangunan dan Fizikal, Pengurusn Staf dan Prestasi dan Pengurusan Perhubungan Luar (Komuniti).
Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang Dan Program Pembangunan Insan berjaya menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai Sekolah cemerlang dan Sekolah Bestari 3 Bintang peringkat sekolah luar bandar pada tahun 2009. Sasaran utama ia lah kemenjadian murid dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan sahsiah untuk menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan serta menjadi modal insan minda kelas pertama.
Di samping itu Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang Dan Program Pembangunan Insan secara tidak langsung berpeluang menyumbangkan sokongan kepada dua agenda besar negara yang diimplementasikan dalam tempoh yang sama tahun 2006 hingga 2010. Pertama, agenda Misi Nasional, teras 2 meningkat keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Kedua, agenda Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ia itu Rancangan Lima Tahun Kementerian Pelajaran Malaysia untuk teras 2, membangun modal insan. Teras 3, memperkasa sekolah kebangsaan, teras 4, merapat jurang pendidikan dan teras 6, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
Dalam konteks ini Pengurusan Strategik melibatkan pihak Pengurusan Sekolah sahaja. Manakala Perancangan Strategik merupakan satu pendekatan pengurusan yang merancang hala tuju organisasi.Perancangan Strategik melibatkan semua staf sekolah supaya visi sekolah dapat dikongsi dan dihayati bersama serta dapat mewujudkan semangat kekitaan, setia kawan, patriotisme dan rasa kesepunyaan di kalangan semua staf Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku. Akhirnya Perancangan Strategik yang dirancang dan dilaksanakan menjadi amalan dan budaya.
Edaris Abbu Bakri (2004), menyatakan bahawa secara umumnya Pengurusan Strategik boleh dianggap sebagai ‘otak’ manakala Perancangan Strategik pula adalah ‘tulang belakang’ kepada pengurusan. Pengurusan Strategik dapat mampu meningkatkan semangat kerja berpasukan, memotivasikan staf serta menjalin kemesraan antara semua staf melalui pemahaman dan penghayatan hala tuju yang sama.
1. PENGENALAN:
Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan telah melaksanakan Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang dan Program Pembangunan Insan Tahun 2006 hingga 2010. Perancangan Strategik tersebut telah berupaya meningkatkan semangat kerjasama berpasukan, memotivasi staf serta menjalin rasa kemesraan antara semua staf melalui pemahaman dan penghayatan hala tuju yang sama. Impak dari pelaksanaan Perancangan Strategik telah membolehkan staf Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku mengkaji dan memahami persekitaran di mana Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku wujud dan beroperasi. Membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku meneroka faktor-faktor dan arah aliran yang akan memberi kesan terhadap peranan sekolah sebagai institusi pendidikan.
Pengetua dapat menggunakan kepakaran dan pengalaman kepengetuaan untuk memenuhi mandat dan misi serta mengenalpasti isu-isu strategik yang perlu ditangani untuk menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang menjelang tahun 2010. Pada akhirnya Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang dan Program Pembangunan Insan Tahun 2006 hingga 2010 akan dapat memperkasa dan melonjakkan kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku.
PERANCANGAN STRATEGIK PROGRAM PERUBAHAN TERANCANG.
PROJEK 1 :
PROJEK MEREALISASI KECEMERLANGAN AKADEMIK SEKOLAH ( PERAH ).
AKTIVITI :
a. Mesyuarat Pasukan PMR, SPM dan STPM serta menubuh jawatan kuasa
bertindak.
b Akurjanji dan penentuan target PMR, SPM dan STPM.
c. Penyediaan Lengkok Pencapaian Akademik dan perjumpaan ibu bapa.
d Pemantapan P & P dalam bilik darjah.
e Semakan buku nota dan buku latihan pelajar.
f Kelas Pengkayaan.
g Kelas pemulihan.
h Ceramah keibubapaan.
i Head count.
j Kem motivasi dan kepimpinan PMR, SPM dan STPM.
k Kelas GEMS tingkatan 1 hingga tingkatan 5.
l Kelas Stayback ( Serambi ) PMR, SPM dan STPM.
m Golden Holiday ( Kelas tuisyen terancang masa cuti ).
n Kelas gemilang ( Elit ).
o Teacher’s On Call ( TOC ).
p Pemantauan latihan dan kerja bertulis pelajar.
q Lawatan sambil belajar ke IPTA dan IPTS.
r Kem mata pelajaran, seminar, dan bengkel teknik menjawab soalan PMR, SPM dan
STPM
s Anugerah pelajar cemerlang.
t. 1001 Soalan ( Aktiviti pecutan, latih amal, latih tubi dan assingnment ).
u. Majlis izin ilmu dan solat hajat.
PROJEK 2:
PROJEK MEMPERTINGKATKAN PENGLIBATAN PELAJAR DALAM AKTIVITI
KO-KURIKULUM.
AKTIVITI:
a Mesyuarat pasukan perancang.
b Menubuh jawatan kuasa bertindak.
c Sukantara.
d Kejohanan olahraga dan permainan.
e Sukan Elit ( Hoki dan Ping Pong ).
f Pertandingan Ko-Akademik.
g Perkhemahan Pasukan Unit Beruniform.
h Larian Kemerdekaan.
i RIMUP.
j Pesta Ko-Kurikulum ( PESKO ).
PERANCANGAN STRATEGIK PROGRAM PEMBANGUNAN INSAN.
PROJEK 3:
JIWA MURNI.
AKTIVITI:
a Mesyuarat pasukan perancang.
b Menubuh jawatan kuasa bertindak.
C Kem motivasi pemantapan kendiri.
d Khidmat Bimbingan dan Kaunseling / Psikologi.
e Kursus pengurusan emosi dan stres.
f Gempur minda dan anjakan paradigma.
2. DEFINISI KONSEP:
Istilah strategik berasal dari perkataan Greek ia itu ‘Strategia’ yang membawa maksud fungsi seorang Jeneral yang menggunakan kepakaran sebagai seorang ketua pemerintah angkatan tentera untuk sentiasa berada dalam keadaan posisi lebih baik dari musuh bagi meraih kemenangan di medan perang. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, strategik bermaksud kebolehan dalam mengurus sesuatu dan mempunyai hala tuju yang jelas. Manakala pengurusan ia lah proses sosial yang dibentuk untuk mendapat kerjasama, penyertaan dan penglibatan ahli-ahli sesebuah organisasi bagi mencapai sesuatu matlamat tertentu.
Konsep Pengurusan Strategik telah digunakan secara meluas dalam bidang perniagaan, korporat dan pendidikan. Dalam bidang pendidikan di Malaysia telah diperkenalkan sejak tahun 1980an menerusi konsep ‘blue print’ yang merujuk kepada cara bagaimana sekolah ingin mencapai matlamatnya dalam tempoh jangka masa 3 tahun atau 5 tahun.
Mengikut Fidler,B. (2002), Pengurusan Strategik boleh didefinisikan sebagai satu proses formulasi strategi dan implementasi strategi yang melibatkan proses analisis strategik, pilihan strategik dan pelaksanaan strategik. Proses formulasi melibatkan proses pembinaan visi hingga ke peringkat Pelan Taktikal Strategik dan Pelan Tindakan Strategik. Implementasi pula adalah peringkat pelaksanaan tindakan yang dirancang untuk memastikan visi oraganisasi tercapai. Penilaian dilaksanakan di peringkat akhir untuk menentukan pencapaian visi organisasi sebenarnya tercapai. Ketiga-tiga peringkat ini dilaksana secara bersenergi.
Bryson,John M dan Alston, Furham K. (1966), telah mendefinisikan Perancangan Strategik sebagai satu usaha yang teratur untuk menghasilkan keputusan-keputusan yang ‘fundamental’ dan tindakan-tindakan yang boleh membantu serta mengemudi sesebuah sekolah untuk kecemerlangan. Perancangan Strategik melibatkan proses merancang dan menetapkan hala tuju organisasi yang akan menjadi panduan serta ikutan semua staf organisasi.
Dari segi Perkhidmatan Awam, Perancangan Strategik adalah satu kerangka kerja untuk melaksanakan mandat kerajaan melalui penjelasan visi dan misi, menganalisis persekitaran, pemilihan fokus keutamaan, matlamat, Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators), penetapan sasaran, objektif, menjana strategi-strategi dan Pelan Tindakan Strategik. Perancangan Strategik boleh memberi impak dan kelebihan kepada organisasi dari segi keberkesanan, kecekapan, menambahbaik, kesefahaman dan pembelajaran, menambahbaik komunikasi dan hubungan luar serta dapat meningkat sokongan politik.
3. SENARIO SEKARANG:
Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku telah berusaha mencapai visi menjadi Sekolah Cemerlang menjelang tahun 2010 melalui pelaksanaan Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang Dan Program Pembangunan Insan Tahun 2006 Hingga 2010.
Kecemerlangan sekolah meliputi Bidang Kurikulum, Ko-Kurikulum, Hal Ehwal Murid, Pembangunan dan Fizikal, Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah yang berpaksi kepada prinsip ‘Good Governance’. Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku juga berkeupayaan menjalin permuafakatan dan koloboratif dengan ibu bapa serta komuniti setempat dan ada kejelekitan dalam usaha melaksana ‘Smart Partnerships’ dengan pihak di luar sekolah. Contohnya dengan ‘Maxis Broadband’ dalam bidang ICTL. Guru dan staf sokongan memiliki sikap dan disiplin yang tinggi.
Sasaran utama Perancangan Strategik Sekolah ia lah aspek kemenjadian murid dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan sahsiah untuk melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan yang akan menjadi modal insan minda kelas pertama.
4. PERANAN PENGETUA:
Perancangan Strategik dapat berfungsi sebagai satu pendekatan bagaimana Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku melaksana fungsi kepimpinan dan kepemimpinan.
Di antaranya ia lah melaksana fungsi kepimpinan dan kepemimpinan seperti berikut:-
a Membina visi sekolah (vision).
b Membuat perancangan (planning).
c Mengambil inisiatif dan berusaha (initiate).
d Mengawal (controlling).
e Menyokong (support).
f Memberitahu (inform).
g Memotivasi orang bawahan (motivate).
h. Membimbing ( coaching).
i Membina pasukan kerja (team works).
j Mengukur dan menilai (monitoring)
k. Menjadi contoh teladan ( role model).
l Mengupayakan orang bawahan (empowerment).
Dengan melaksana Perancangan Strategik itu dapat membantu Pengetua kenalpasti beberapa bidang pengurusan sekolah yang perlu diberi perhatian dan keutamaan.
Beberapa aspek pengurusan sekolah yang diberi keutamaan seperti berkut:-
a Pengurusan kurikulum.
b Pengurusan Ko-kurikulum.
c Pengurusan Hal Ehwal Murid.
d Pengurusan Staf dan Prestasi.
e Pengurusan Pembangunan dan Fizikal.
f Pengurusan Pejabat dan ICT.
g Pengurusan Kewangan.
h Pengurusan Perhubungan Luar (Komuniti).
Keupayaan Pengetua memahami dan melaksana fungsi kepimpinan serta faham beberapa bidang Pengurusan Strategik Sekolah yang perlu diberi perhatian dan keutamaan dapat memudahkan usaha untuk melaksanakan Perancangan Strategik Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku dari segi konseptual dan realiti.
Dengan melaksanakan Perancangan Strategik Sekolah dapat meningkatkan semangat kerja sepasukan semua staf kerana Pengetua sebagai peneraju utama memainkan peranan memimpin dan membimbing ke arah hala tuju yang sama dan melihat masa depan dengan lebih yakin bagi mencapai visi sekolah. Dengan kata lain bekerja bersama sebagai satu permulaan. Bekerjasama dapat membina kemajuan. Berkat muafakat akan menghasilkan kejayaan. Kejayaan itu dikongsi bersama.
Sebagai Pengetua, saya telah menonjolkan keberanian dalam proses praperancangan dan implementasi Perancangan Strategik dengan menyampaikan hasrat visi dan misi yang jelas kepada semua staf serta ‘Key Performance Indicators’ yang perlu dicapai. Semua staf dipupuk kesediaan dari segi ‘Emotional Spiritual Quotient’ (ESQ), dan ‘Intelligence Quotient’ ( IQ). Semua Staf dapat membina ‘Social Quotient’ (SQ) dan ‘Emotional Quotient’ (EQ) yang membawa kepada pemupukan dan penghayatan budaya kerja yang berkualiti dan kompeten. Inisiatif telah diambil untuk pembinaan watak (Character Building) semua staf melalui aktiviti taklimat, mesyuarat pasukan, kursus dalaman, kursus motivasi dan lawatan penanda aras. Semua staf dapat mengawal diri dan kelakuan (Self Control) serta membuat ‘strategic collabration’. Ini akan memotivasi semua staf dan dapat menjalin kemesraan serta dapat menghayati hala tuju organisasi yang sama. Prinsip kerja bukan untuk Pengetua tetapi bekerja bersama Pengetua dapat direalisasikan.
Di peringkat praperancangan Pengetua berusaha untuk memperolehi persefahaman awal dengan pasukan-pasukan pembuat keputusan dalam dan luar berkaitan proses Perancangan Strategik secara keseluruhan, kerangka jadual dan pembahagian tugas-tugas penting. Menjalankan penilaian atau pentaksiran terhadap kesediaan membuat dan menerima perubahan. Tujuan penilaian ini untuk menentukan sejauh manakah keupayaan staf sekolah dalam usaha pelaksanaan Perancangan Strategik. Langkah ini juga untuk melihat jika terdapat kekurangan-kekurangan yang perlu diperbaiki.
Persetujuan diperlukan terhadap perkara-perkara berikut:-
a. Penubuhan pasukan penyelaras yang menetap dasar dan hala tuju.
b. Skop kerja jawatan kuasa Perancangan Strategik, aktiviti-aktiviti dalam
penjadualan dan tarikh-tarikh penetapan maklum balas.
c. Penubuhan pasukan pemantau pelaksanaan Perancangan Strategik yang akan
menyelaras proses-proses seharian.
d. Pemilihan dan perlantikan pakar untuk membantu dalam proses rekabentuk dan
pemudahcara proses perancangan.
e. Komitmen pelbagai peringkat bagi memulakan dan melaksanakan perancangan.
Bryson, John M, (2003), menjelaskan apakah yang perlu dilakukan tentang mandat seperti yang dinyatakan dalam dasar organisasi dan ’stakeholders’. Pengetua membuat analisis mandat sebagai sumber kuasa yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pengetua kena patuh kepada dasar kerajaan.
Mandat sebagai sumber kuasa seperti berikut:-
a Dasar Pendidikan Kebangsaan.
b Dasar Wawasan Negara.
c Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
d Akta Pendidikan 1966 (Akta 550).
e Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010.
f Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI).
g Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA).
h Perintah Am.
i Arahan Perbendaharaan.
Mandat kerajaan boleh diertikan sebagai ekspektasi, undang-undang, dasar kerajaan, peraturan-peraturan, prosedur serta keperluan belanjawan. Dengan berdasarkan analisis ’stakeholders’ , dasar dan mandat boleh dijadikan asas untuk membina pernyataan visi dan misi Perancangan Strategik Sekolah yang berkaitan dengan tujuan kewujudan sekolah dan nilai yang jadi pegangan. Dalam perkara ini sekolah melaksanakan Perancangan Strategik yang ianya sepatut lakukan sebagai institusi pendidikan.
Perkara yang perlu diberi perhatian dan keutamaan ia lah membina pernyataan visi sekolah dan nilai yang menjadi pegangan. Nanus, B (1994), menjelaskan kriteria-kriteria untuk satu pernyataan visi yang baik seperti berikut:-
a. Berorientasikan masa depan.
b. Memandu ke arah masa depan yang jelas.
c Sesuai dengan budaya dan nilai organisasi.
d Satu set piawai kecemerlangan dan kualiti.
e Jelas tujuannya.
f Membangkitkan semangat dan memupukkan komitmen atau kepercayaan.
g Mengambarkan keunikan organisasi.
h Cukup ’ambitious’.
Elemen tersebut di atas terdapat dalam visi Perancangan Strategik Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku. Contoh pernyataan visi Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku seperti berikut:-
“SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CHERANG RUKU AKAN MENJADI SEKOLAH CEMERLANG
MENJELANG TAHUN 2010”
Pernyatan visi ini bersifat operasi, dinamik dan sesuai bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku yang masih dan sedang berusaha untuk merapat jurang pendidkan, melonjakkan kecemerlangan dan memperkasa sekolah menjadi Sekolah Cemerlang luar bandar.
Visi Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku akan menjadi Sekolah Cemerlang menjelang tahun 2010 dicapai melalui pernyataan misi seperti berikut:-
a Mewujudkan suasana persekitaran sekolah yang kondusif bagi individu murid
untuk cemerlang dalam kurikulum, ko-kurikulum dan sahsiah.
b Memupuk suasana mesra murid dan mesra guru untuk mengurus, memimpin,
mentadbir dan mengelola sekolah dengan cekap dan berkesan.
c Memberi keutamaan kepada ’core business’ dan memotivasi warga sekolah ke
arah penambahbaikan yang berterusan melalui pengajaran berkesan.
d Memupuk budaya teknologi maklumat ( ICT ) di kalangan warga Sekolah Menengah
Kebangsaan Cherang Ruku.
e Menjalin hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti.
Perancangan Strategik yang dilaksana di Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku memberi peluang kepada Pengetua menjana idea baru dan berani mengambil risiko untuk melakukan perubahan dan transformasi dengan menggunakan pendekatan ’Maintaine’, ’ Improve’ dan ’Change’ ( MIC ). Pengetua kelihatan kepada semua staf sebagai seorang yang inovatif dan kreatif dengan membuat transformasi dan melakukan kerja bukan sahaja berdasarkan ’Hard works’ tetapi dengan cara ’Smart works’.
Perancangan Strategik boleh menjadikan Pengetua sebagai ’Role model’ kepada semua staf. Semua staf akan bekerja bersama Pengetua. Semua staf akan dapat melakukan kerja secara rasional dan analitikal bila Pengetua sebagai Pengurus Perancangan Strategik dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar serta dorongan. Pengetua berkemampuan menjadi sumber inspirasi dan menjadi ’Role Model’ kepada semua staf serta berjaya membawa perubahan ke arah kebaikan sekolah. Menjadikan perubahan dan transformasi sebagai agenda utama sekolah. Perubahan dan transformasi diketahui, dapat dirasai dan memberi manfaat kepada sekolah, semua staf, pelanggan dan ’stakeholders’.
Pengetua selaku Pengurus Perancangan Strategik telah berjaya memberi bimbing kepada semua staf.Semua staf dengan penuh yakin dapat mematuhi dan menjamin segala aktiviti akan mencapai matlamat. Sebab semua staf dapat merasai dan sedar bahawa mereka sentiasa diperhati, diselia dan dipantau serta dikawalselia secara berterusan.
Pelaksanaan Perancangan Strategik memberi peluang kepada Pengetua mendorong, memberi bimbingan dan mempengaruhi semua staf untuk mencapai visi dan melaksanakan misi . Contoh langkah yang diambil untuk memilih staf yang sesuai untuk
melaksana Pelan Tindakan Strategik. Tindakan ini menggalakkan staf melaksanakan kerja dengan bertanggongjawab dan berdedikasi. Pengetua memiliki corak dan gaya berkomunikasi berkesan. Contohnya melalui taklimat, mesyuarat, interaksi dan mengamalkan prinsip perhubungan kemanusiaan yang ada sifat penyayang, mesra, jujur dan ikhlas yang dapat dilihat serta dirasai oleh semua staf, pelanggan dan ’stakeholders’. Pengalaman Pengetua dan semua staf dikongsi bersama. Ini dapat memanfaatkan kepakaran dan kecekapan serta keputusan dapat dibuat dengan tangkas dan tepat untuk menjayakan Perancangan Strategik. Lantas dapat menyelesaikan masalah sekolah dan dapat mencapai matlamat Perancangan Strategik dengan penglibatan semua pihak.
Dalam proses merangka dan menulis pernyataan visi dan misi sekolah akan menyebabkan semua staf akan dapat kejelasan aspek-aspek berikut:-
a Staf di sekolah sebagai anggota organisasi menjadi jelas dan dapat
menghayati ’Core business’ dan tanggongjawab secara konkrit dan melaksanakan
tugas pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.
b Hala tuju masa depan sekolah menjadi lebih jelas.
c Dapat merangka strategi dan misi untuk mencapai visi sekolah.
d. Dapat melahirkan dan mengamal serta menghayati nilai baik dengan baik serta
menjadi pegangan dalam usaha mencapai hala tuju, visi dan misi sekolah.
e. Visi berorientasi masa depan dalam tempoh 5 tahun.
Visi menarik dan menjadi sumber inspirasi kepada semua staf untuk menyumbang dan bekerja sebagai satu pasukan.
Perancangan Strategik Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku mengambil tempoh selama 5 tahun.Visi Perancangan Strategik menyatakan apa yang ingin dicapai melalui perancangan masa depan dan ke arah mana hala tuju organisasi sekolah. Pengetua mengambil tanggongjawab membuat ’Road Map’ masa depan sekolah, menentukan posisi kejayaan masa depan sekolah, menyedia hala tuju serta membina identiti sekolah yang kukuh. Contohnya sekolah dikenali oleh pelanggan dan ’stakeholders’ dan dilihat sebagai ’ Moving school’.
Perancangan Strategik Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku dapat mengubah situasi yang lebih baik di masa depan berbanding dengan apa yang wujud sebelumnya. Dengan adanya visi yang jelas, ringkas dan mudah difahami oleh semua staf dapat dikongsi bersama pelanggan dan ’stakeholders’ akan hala tuju sekolah. Perancangan Strategik akan dapat memberi kesan kepada emosi dan dapat mencipta serta merealisasi visi dan matlamat sekolah.
Nilai yang baik yang diterap dalam Perancangan Strategik Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku seperti ’ Dedikasi, Amanah, Penyayang, Ikhlas, Gigih dan Profesional’ boleh menjadi agen perubahan dalam usaha mencapai matlamat dan visi sekolah. Jika nilai tidak baik menyebabkan timbul tindakan menghalal cara. Itu lah menjadi punca penyebab ada staf yang kurang komited kepada tugas dan tanggongjawab serta tidak ada integriti kepada sekolah. Sekolah menjadi ’Sinking School’ bukan ’Moving School’. Reputasi sekolah akan merosot dipandangan pelanggan dan ’stakeholders’
Langkah yang perlu diambil sebelum pelaksanaan Pelan Taktikal Strategik dan Pelan Tindakan Strategik untuk menjadi sekolah cemerlang tahun 2010 ialah menentukan hala tuju sekolah dengan melihat dan membuat analisis mandat, dasar, visi, misi, termasuk nilai, piagam pelanggan, slogan, motto, logo dan warna korporat yang menjadi lambang sekolah. Langkah perlu diambil untuk merangka perancangan berdasar kepada analisis persekitaran dalaman dan persekitaran luaran dengan menggunakan teknik ’Swot Analysis’. Berdasarkan kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang serta menentukan faktor kejayaan kritikal organisasi sekolah. Contohnya pernyataan misi dan visi sekolah dapat difahami, dikongsi dan dihayati oleh semua staf, pelanggan dan ’stakeholders’.Oleh itu misi dan visi dapat dicapai dengan mudah kerana difahami, dikongsi dan dihayati bersama.
Perancangan Strategik Sekolah dapat menyerlah hala tuju sekolah.Kepimpinan yang mantap, visi dan misi yang jelas berlaku. Kepimpinan sinaran yang mantap dan menyerlah dalam aspek ’ Planning’, ’Organizing’, ’Leading’ dan ’Coaching’ ( POLC ) akan menjadikan Perancangan Strategik yang dilaksanakan akan meningkatkan semangat bekerja berpasukan semua staf. Visi akan menjadi hala tuju organisasi sekolah untuk mencapai matlamat.Misi dijadikan langkah strategik yang dilaksanakan untuk merealisasikan visi ke arah Sekolah Cemerlang. Perancangan Strategik dilaksanakan dalam tiga peringkat ia itu program, projek dan aktiviti. Pelan Operasi melalui Pelan Taktikal Strategik dan pelan pelaksanaan melalui Pelan Tindakan Strategik dapat memberi ruang kepada semua staf untuk meningkatkan partisipasi dan bekerja berpasukan. Dapat memotivasi semua staf dan menjalin kemesraan kerana dapat bekerja bersama-sama melaksanakan program, projek dan aktiviti dalam suasana kemesraan serta mencapai matlamat bersama.
Pelan Tindakan Strategik yang dilaksanakan mengambilkira indikator kejayaan yang sedia ada pada sekolah. Ini membolehkan Perancangan Strategik yang dilaksanakan telah dilaksanakan dengan melakukan perkara yang betul dengan betul untuk orang yang betul dan pada masa yang betul serta tempat yang betul. Oleh itu visi sekolah dapat direalisasikan. Contohnya Pengetua melaksanakan fungsi kepimpinan dengan cara membina visi yang dapat menyebabkan semua staf berusaha merealisasikan Perancangan Strategik. Ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan penarafan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku yang telah dilaksanakan berdasarkan instrumen Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Malaysia ( STKPM ) telah menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku mencapai status sebagai Sekolah Cemerlang pada tahun 2009. Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku juga telah diiktiraf sebagai Sekolah Bestari 3 Bintang.
Dengan itu visi sekolah untuk menjadi Sekolah Cemerlang menjelang tahun 2010 telah dicapai pada tahun 2009 kerana semua staf ada wawasan dan matlamat serta hala tuju yang sama dan dapat bekerja dalam suasana kemesraan. Semua staf ada matlamat yang jelas, amalan-amalan yang tekal, kesejawatan dan bekerjasama. Pengetua dapat mengenalpasti keperluan latihan staf dan menjalankan latihan dalaman jika dikenalpasti ada staf yang kurang cekap. Di samping itu dapat merangka program khas kurikulum untuk pengukuhan, pengkayaan dan pemulihan untuk mengatasi kelemahan murid dalam peperiksaan awam.
Setiap unit dan bahagian yang melaksanakan Pelan Tindakan Strategik dikehendaki melaporkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama ( KPI ) masing-masing dalam mesyuarat kajian separuh penggal pelaksanaan Perancangan Strategik. Tindakan ini menyebabkan semua staf yang terlibat lebih bersedia dan bertanggongjawab serta dapat meningkatkan komitmen mereka. Laporan tersebut akan dinilai oleh Pengetua sebagai Pengurus Perancangan Strategik dengan mengkaji pencapaian berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama ( KPI ). Dengan itu dapat meningkatkan unsur integriti dan akauntabiliti semua staf yang terlibat dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik. Perancangan Strategik yang dilaksanakan menunjukkan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku bergerak menuju hala tuju dan berada dilandasan yang betul serta telah dapat mencapai sasaran dan matlamatnya.
5. IMPAK PERANCANGAN STRATEGIK:
Perancangan Strategik Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku berjaya melonjakkan kecemerlangan akademik.. Pencapaian kecemerlangan bidang akademik dapat dilihat dari analisis pencapaian PMR, SPM dan STPM.
PMR:
Bilangan Pelajar Skor ’A’ 2006 2007 2008 Percubaan PMR 2009
9 A 2 Orang 1 Orang 3 Orang
8 A 2 Orang 5 Orang 2 Orang 1 Orang.
7 A 3 Orang 4 Orang 4 Orang 1 Orang.
6 A 10 Orang 5 Orang 3 Orang 2 Orang
5 A 6 Orang 4 Orang 1 Orang 2 Orang
4 A 3 Orang 13Orang 7 Orang 1 Orang
3 A 19 Orang 13 Orang 11 Orang 9 Orang.
2 A 36 Orang 24 Orang 20 Orang 11 Orang.
1 A 45 Orang 34 Orang 50 Orang 35 Orang.
SPM:
Bilangan Perlajar Skor ’A’ 2006 2007 2008 Percubaan SPM 2009
10 A 1 Orang
9 A
8 A 1 Orang
7 A
6 A 1 Orang 1 Orang
5 A 3 Orang 1 Orang 8 Orang 4 Orang
4 A 3 Orang 1 Orang 8 Orang 9 Orang
3 A 14 Orang 9 Orang 17 Orang 6 Orang
2 A 22 Orang 33Orang 30 Orang 13 Orang
1 A 37 Orang 24 Orang 30 Orang 29 Orang
STPM:
Bilangan pelajar Skor Prinsipal 2006 2007 2008 Percubaan STPM 2009
5 P 48 Orang 28 Orang 21 Orang 38 Orang
4 P 28 Orang 38 Orang 35 Orang 19 Orang
3 P 20 Orang 19 Orang 26 Orang 30 Orang
2 P 15 Orang 11 Orang 16 Orang 21 Orang
1 P 6 Orang 10 Orang 11 Orang 13 Orang
Lulus sebahagian 2 Orang 3 Orang.
Gagal 10 Orang.
Bilangan Lulus 117 Orang 106 Orang 109 Orang 131 Orang
Peratus 98.32 % 97.25 % 100 % 92.37 %
Skor 5 A 1 Orang
4 A 2 Orang
3 A 8 Orang 1 Orang 1 Orang
2 A 10 Orang 2 Orang 5 Orang
1 A 26 Orang 18 Orang 14 Orang 14 Orang
Berjaya ke IPTA 66 Orang 47 Orang 52 Orang Jangkaan 57 Orang
Dari data tersebut dapat dirumuskan bahawa walaupun Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku bukan sekolah kawalan yang menerima murid dari ’feeder school’ yang hanya memiliki pencapaian tertinggi 2A sahaja tetapi telah dapat meningkatkan tahap kecemerlangan akademik melalui pelaksanaan Perancangan Strategik Sekolah.
Dengan pelaksanaan Perancangan Strategik di bawah Projek Peningkatan Penglibatan Pelajar Dalam Aktiviti Ko-Kurikulum telah meningkat nilai tambah pendidikan aspek kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum dapat memenuhi keperluan sosial, intelek, rohani dan jasmani serta emosi dan kesihatan.
Perkara tersebut telah dapat dicapai melalui ko-kurikulum seperti berikut:-
a Pengurusan unit ko-kurikulum dilaksana secara terancang dan sistematik serta
bersenergi yang menjadi flatform utama para pelajar bergerak aktif.
b Penyertaan dalam aktiviti ko-kurikulum pasukan beruniform dapat meningkatkan
jati diri dan nilai murni.
c Aktiviti perkhemahan unit beruniform dapat menyemai semangat perpaduan dan
setia kawan serta etika bekerjasama.
d Pelajar yang aktif dalam persatuan dan kelab dapat menjana kebijaksanaan dan
mempunyai integriti.
e Aktiviti pertandingan dan seni warisan dapat menggilap bakat dan menyemai
sifat menghargai khazanah bangsa untuk terus dipertahankan.
Tidak dapat dinafikan bahawa Perancangan Strategik dalam bidang ko-kurikulum melalui Pelan Tindakan Strategik Projek Meningkatkan Penglibatan Pelajar Dalam Aktiviti Ko-Kurikulum dapat membentuk ketrampilan dan keperibadian pelajar dan benar-benar memberi kesan positif terhadap usaha menjana kualiti insan seimbang dan harmonis selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Semua staf juga secara tidak langsung dapat bekerjasama menjayakan Pelan Tindakan Strategik. Dapat meningkatkan kerja berpasukan dan menjalin kemesraan melalui penglibatan menjayakan aktiviti ko-kurikulum. Pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik menyebabkan semua staf berpeluang meyumbangkan kepakaran, kreativiti dan bakat masing-masing .
Beberapa kejayaan sekolah dapat dikongsi bersama seperti berikut:-
a Juara Dikir Barat peringkat kebangsaan tahun 2007 dan 2008 serta tempat ke-3
tahun 2009.
b Pasukan Kadet Polis dapat mewakili sekolah ke peringkat negeri dan
kebangsaan.
c Pasukan Ping Pong dapat mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan.
d Pasukan Kadet Remaja Sekolah mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan.
Perancangan Strategik Pembangunan Insan di bawah Projek Jiwa Murni telah berjaya meningkatkan mutu disiplin murid. Disiplin berada dalam keadaan terkawal.Tidak berlaku gangsterisme dan buli di sekolah. Sekaligus membantu peningkatan pencapaian akademik. Guru dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran sepenuh jiwa. Berusaha dan berdedikasi menjalankan tugas dan tanggongjawab demi ’survival’ murid. Guru ada keyakinan diri bahawa semua murid boleh diajar dan diasuh serta dilatih. Sekaligus membantu kesamarataan ekuiti pendidikan dengan menjana pendidikan berkualiti.
Guru dapat membantu peningkatan bidang akademik, ko-kurikulum dan sahsiah pelajar.Sebagai contoh aktiviti ’absen sifar’ telah dapat meningkatkan kehadiran murid dari 78 % sehingga 97 %. Aktiviti motivasi telah meningkatkan disiplin kendiri dari 85 % ke- 98 %. Kaunselor dapat melaksanakan aktiviti motivasi dan aktiviti pengurusan stres. Pelajar ’high risk’ dapat dibantu dan dapat mengurangkan bilangan dari 5 % kepada 0.5 %. Kes salahlaku dapat dibanteraskan. Dalam konteks ini guru dapat bekerjasama menyumbang tenaga ke arah meningkatkan mutu disiplin sekolah. Kes salahlaku dapat dikurangkan dan kes yang ada hanyalah kes kesalahan ringan dengan skala kecil (1.5 %).
7. KESIMPULAN:
Amalan Pengurusan Strategik dengan melaksanakan Perancangan Strategik Program Perubahan Terancang dan Program Pembangunan Insan Tahun 2006 hingga 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku telah dapat meningkatkan semangat kerja berpasukan, memotivasikan staf serta menjalin rasa kemesraan antara semua staf melalui pemahaman dan penghayatan hala tuju yang sama. Visi menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai Sekolah Cemerlang menjelang tahun 2010 telah dapat dikongsi dan dihayati bersama serta direalisasikan menjadi realiti pada tahun 2009. Perancangan Strategik yang dilaksanakan telah berjaya melonjakkan kecemerlangan dan memperkasa Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku sebagai Sekolah Cemerlang luar bandar dan Sekolah Bestari 3 Bintang pada tahun 2009.
Jumaat, 13 November 2009
PELAKSANAAN PERANCANGAN STRATEGIK SMK CHERANG RUKU 2006 - 2010.
Posted by NoddenBerek12KBR at 5:43 PTG 0 comments
Langgan:
Catatan (Atom)