Kesempatan ini ingin saya menyampaikan amanat untuk menentukan halatuju SMK Cherang Ruku.Saya ingin menggariskan visi untuk menjadikan SMK Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang menjelang tahun 2010 melalui pernyataan misi seperti berikut:-
1. Mewujudkan suasana persekitran sekolah yang kondusif bagi perkembangan potensi individu murid untuk cemerlang dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum dan sahsiah.
2. Memupuk suasana mesra murid dan mesra guru untuk memimpin, mentadbir dan mengelola sekolah dengan cekap dan berkesan.
3. Memberi keutamaan kepada "core business" dan memotivasi warga sekolah ke arah penambahbaikan yang berterusan melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
4. Menjalin hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti.
Guru perlu sedar bahawa memberi ilmu dan mendidik murid untuk kesejahteraan masa depan merupakan tanggongjawab dan amanah yang amat berat yang perlu dipikul bersama dengan iltizam yang tinggi selaras dengan visi dan misi sekolah. Visi perlu diterjemahkan melalui perbuatan dan amalan seharian sebagai seorang guru berkualiti dengan melaksana kerja buat yang berkualiti supaya SMK Cherang Ruku sentiasa berada pada tahap yang tinggi dan cemerlang.
Beberapa strategi ke arah menjadikan SMK Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang memerlukan usaha memperkasa SMK Cherang Ruku ke arah sekolah cemerlang dan institusi pendidikan yang berkualiti.
Strategi pertama ialah melaksanakan tadbir urus yang baik (Good Governance). Guru-guru SMK Cherang Ruku perlu sedar bahawa "Core Business" atau tugas utama mesti berfokus kepada pelaksanaan kurikulum. Guru mengajar dan murid belajar. Guru mesti menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah berkualiti. Guru hendaklah melaksanakan aktiviti ko-kurikulum di dalam dan di luar bilik darjah. Segala kerja buat guru perlu membantu ke arah penyuburan IQ, EQ, SQ dan ESQ murid secara menyeluruh dan bersepadu.
Guru mesti bersedia menerima perubahan dan memahami perubahan persekitaran sekolah serta mengambil langkah sewajarnya seiring dengan perubahan itu. Guru perlu mengiringi perubahan dan tidak ditinggalkan oleh perubahan itu. Guru berkualiti ia lah guru yang boleh menjadi agen perubahan masyarakat bukannya masyarakat mengubah guru. Guru perlu berkualiti sebelum boleh menjadikan muridnya berkualiti. Guru bukan sahaja melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Aspek perkembangan sahsiah dan kehidupan bagi masa hadapan murid perlu diberi keutamaan dalam usaha menjana sekolah cemerlang.
Justeru itu semua guru perlu membuat refleksi diri dengan melihat di mana kita berada dan ke mana matlamat perjuangan kita. Apakah sumbangan kita kepada murid sudah memadai dan berada pada tahap cemerlang. Apakah kita hanya sekadar melihat perubahan atau perubahan yang meninggalkan kita. Umpama seorang penumpang yang ditinggalkan oleh keretapi. Atau seperti seorang berada di dalam rumah kaca yang sekadar melihat perubahan tanpa berbuat apa-apa.
Strategi kedua ialah mengurus masa yang bermanfaat. Guru perlu menggunakan masa yang ada dan ditetapkan dalam jadual waktu pengajaran dan takwim sekolah secara berhemah dan bijaksana. Guru perlu mengelak diri melakukan aktiviti yang tidak bersangkutpaut dengan "Core Business". Masa perlu diurus dengan berhemah dan teliti agar ia memberi pulangan berganda. Guru perlu masuk kelas awal dan mengajar dengan berkesan. Tidak membuang masa dengan berborak kosong di bilik guru atau menggunakan masa yang lama berada di kantin. Masa digunakan dengan baik untuk mendapat pulangan berganda.
Guru perlu hadir awal 15 minit dari loceng dibunyikan dan tidak berasak-asak menulis kehadiran di kaunter Pejabat Am kerana waktu itu sepatutnya guru berada dalam bilik darjah. Pulang 15 minit lewat agar tidak berlumba-lumba pulang dengan murid-murid. Pastikan semua murid pulang barulah guru boleh pulang. Datanglah ke sekolah dengan riang dan pulang dengan tenang.
Strategi ketiga ialah meningkatkan integriti sebagai seorang guru berkualiti dan cemerlang. Guru hendaklah memahami dan melaksanakan bidang tugas serta tanggongjawab yang diamanahkan. Disamping melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru diberi tanggongjawab sebagai wakil ibu bapa di sekolah. Dalam istilah bahasa latin disebut "in loco parentis". Tanggongjawab bermula daripada guru mata pelajaran, guru kelas sehingga sebagai guru penasihat bagi aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya. Tanggongjawab ini mesti diberi fokus yang betul. Murid dibimbing dan diberi pendidikan berkualiti agar mereka berilmu pengetahuan tinggi, memiliki kepintaran pelbagai dan bersahsiah cemerlang untuk menyediakan tenaga kerja yang 'compatible' dengan pasaran kerja masa depan.
Setiap murid dapat dijelmakan perwatakan tersendiri melalui etos dan budaya sekolah. Murid mempunyai watak cemerlang, berbudi bahasa, taat kepada agama dan Tuhan, berilmu dan berintelek, ada daya ketahanan fizikal, bersemangat sukan (sportmanships) dan 'gentlemen' yang bersedikan disiplin yang tinggi. Murid perlu dilatih dan berkemahiran tinggi.
Guru terlibat secara langsung dengan aktif sebagai penasihat olahraga dan permainan, guru penasihat persatuan dan kelab dan sebagai guru penasihat unit beruniform. Oleh itu pastikan setiap penglibatan guru itu memberi makna yang penting kepada bidang olahraga dan permainan, kelab dan persatuan serta unit beruniform. Setiap tahun pelbagai aktiviti ko-kurikulum dilaksanakan dan melibatkan tenaga, masa dan kewangan yang tidak sedikit.
Strategi keempat ialah meningkatkan prestasi pencapaian akademik. Pencapaian akademik sangat penting kerana apapun usaha kita pada akhirnya kecemerlangan akademik akan menjadi kriteria utama untuk mengukur prestasi kecemerlangan sekolah selain ko-kurikulum, disiplin, sahsiah serta kemasyarakatan.
Untuk memastikan kecemerlangan akademik dapat dilaksanakan dengan berkesan guru dan murid perlu menyediakan fail merekod pencapaian akademik bagi setiap mata pelajaran terutama PMR, SPM dan STPM.
Guru mata pelajaran dan murid perlu menyediakan lengkok pencapaian akademik bagi setiap mata pelajaran. TOV setiap mata pelajaran bagi setiap murid ditentukan berdasar keputusan peperiksaan akhir tahun. Bagi tingkatan tiga berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun tingkatan dua. Bagi tingkatan lima berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun tingkatan empat. Tingkatan enam atas berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun enam bawah. Kemudian guru menentukan ETR yang perlu dicapai.
Bermula dengan TOV itu dilaksanakan OTI bagi setiap pencapaian yang dicapai murid-murid berdasarkan ujian pengesanan, peperiksaan penggal dan percubaan. Kemudian dibuat graf TOV dan OTI untuk melihat ATR ia itu pencapaian sebenar sama ada di bawah ETR atau di atas ETR. Jika keputusan itu di bawah ETR, maka perlu dirangka satu program pemulihan. Jika keputusan di atas ETR dirangka program pengkayaan agar ATR berada pada tahap setinggi mungkin atau cemerlang.
Saya menaruh harapan penuh agar guru tidak memandang ringan dan mudah membuat lengkok pencapaian akademik ini serta beranggapan sebagai satu kerja membebankan dan remeh. Graf ini perlu dibuat sendiri oleh murid-murid dengan bimbingan guru agar murid-murid dapat melihat pencapaian akademik mereka sebagai persediaan untuk peperiksaan sebenar PMR, SPM dan STPM nanti. Jika lengkok pencapaian akademik dapat dilaksanakan secara berkesan maka tidak ada sebab kecemerlangan akademik tidak dapat dicapai.
Anggapan bahawa murid kita lemah, pencapaian sekolah sederhana dan kita bukan sekolah kawalan perlu dikikis dari pemikiran. Kita boleh bersaing dengan semua sekolah jika kita bekerja kuat dan komited ke arah kecemerlangan dan berusaha gigih untuk merealisasikn kecemerlangan pendidikan sekolah.
Akhir kata marilah kita bersama-sama berazam dan bekerja agar amanah yang diserahkan kepada kita oleh setiap ibu bapa dapat kita tunaikan sebaik-baik mungkin. Marilah kita bertekad agar kita dapat mencapai kejayaan cemerlang dan gemilang. Marilah kita bertekad agar tahun ini kita dapat memperkasakan SMK Cherang Ruku sebagai Sekolah Cemerlang dan Sekolah Bestari. Marilah kita bersama-sama meningkat integriti guru-guru SMK Cherang Ruku dan mencipta kecemerlangan.
Ingatlah masa depan anak didik kita amat bergantung kepada kejayaan dan kemantapan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah serta program dan aktiviti pendidikan yang kita rancang dan laksanakan. Kejayaan itu bergantung kepada kecemerlangan setiap indidvidu jika dapat menjadi guru yang berkualiti. Amanah yang kita pikul amat berat dan bukan sahaja dinilai semasa kita berkhidmat di SMK Cherang Ruku malah selepas kita tiada lagi di sini.
Saya doakan semoga kita barisan guru-guru SMK Cherang Ruku menjadi guru yang berkualiti dan dapat bekerja dengan ikhlas serta komited kepada tugas masing-masing. Saya berharap agar kita dapat menjana mutu kerja cemerlang untuk mencapai kecemerlangan. Usaha memperkasa SMK Cherang Ruku akan menjadi kenyataan. Semoga setiap azam, setiap doa dan setiap impian serta harapan semua guru dan murid akan dapat dicapai dan terlaksana serta menjadi kenyataan.
Saya sudahi amant saya ini dengan memohon maaf jika bicara terkasar bahasa dan keterlaluan cara. Mana yang baik datang dari Allah SWT dan segala kelemahan adalah milik saya.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Sabtu, 29 Ogos 2009
Perutusan Amanat Pengetua SMK Cherang Ruku.
Posted by NoddenBerek12KBR at 9:54 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan