Selasa, 1 September 2009

WANITA ISLAM DENGAN KERJAYANYA.

PENGENALAN:

Kertas kerja ini ingin memaparkan kerjaya wanita Islam dari sudut pandangan tradisi Islam. Kerjaya ini berkaitan dengan hubungannya sebagai insan dan pencipta Nya. (Allah s.w.t). Dari segi Tassawur Islam peranan wanita yang paling utama ia lah sebagai isteri solehah dan ibu mithali. Medan perjuangan seorang wanita Islam yang hakiki ia lah rumahtangganya. Tugas membentuk generasi Islam untuk mendapat kebahgiaan di dunia dan di akhirat terletak di bahu wanita Islam.


KERJA DARI SUDUT PANDANGAN TRADISI ISLAM:


Dalam tradisi Islam kerja dianggap sebagai ibadah. Ini kerana kerja di dalam tradisi Islam berhubungkait dengan solat dan amal ibadah. Seruan azan 5 kali sehari, 'Mari melakukan sembahyang'(hayy' ala' solah) dan 'Mari menuju kejayaan' (hayya' ala' falah)dapat menunjukkan hakikat solat dan bekerja itu berkaitan antara satu sama lain. Ini kerana agama Islam adalah satu cara kehidupan (way of life) dan Rasullulah S.A.W adalah sebaik makhluk contoh di dunia.

Pada ketika masyarakat Islam yang pertama masih berada di Makkah, kumpulan kecil yang merupakan kumpulan kerohanian yang terbilang ini diperintah supaya menghabiskan waktu malam dengan sembahyang dan berjaga malam. Tetapi ketika di Madinah, setelah suasana masyarakat yang lengkap didirikan, Rasulullah S.A.W menitikberatkan kepentingan masyarakat agama yang baru itu menghabiskan satu pertiga daripada hari mereka untuk bekerja, dan satu pertiga untuk bekerja, satu pertiga untuk tidur dan rehat, dan satu pertiga lagi untuk sembahyang, masa lapang dan bersama keluarga serta kegiatan masyarakat.


Seyyed Hossein Nasr (terjemahan 1989:17-18.

Orang Islam tidak bekerja kerana kerja atau bekerja untuk makan dan kesenangan di dunia tetapi bekerja untuk kebahgian di dunia dan di akhirat.

Dalam surah Al-Aas, 'Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh'


Semua pekerjaan dikira ibadah sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:-

1. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam.
2. Amalan-amalan itu dikerjakan dengan niat yang baik.
3. Amalan-amalan itu hendaklah dibuat seelok-eloknya.
4. Ketika membuat kerja-kerja itu hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang.
5. Tidak lalai dan cuai menjalankan ibadah khusus seperti sembahyang, puasa dan sebagainya semasa mengerja amalan-amalan dunia atau bekerja.

Jika ke-5 syarat tersebut dapat dilaksanakan oleh seorang mukmin dalam kerjanya dan urusan hidupnya setiap hari, maka ia dikira telah sentiasa melakukan ibadah.

Firman Allah S.W.T, 'Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada Ku'(Al-Zariat:56).


Kerja yang akan menjadi ibadah itu hendaklah disertai dengan taqwa. Asas taqwa
ia lah mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Allah S.W.T. Orang yang bertaqwa ia lah orang yang hidup dalam keadaan sentiasa berwaspada agar tidak terjerumus dalam melakukan dosa. Tidak mensia-siakan hak orang lain. Tidak mengabaikan tanggongjawab dan amanah serta sentiasa diikhlaskan segala pekerjaan itu untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T, 'Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam Islam'
(Ali Imran:102).


Penganut Islam diajar supaya bekerja seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah mereka akan mati pada esok harinya. Ini bermakna tuntutan agama Islam agar umatnya bekerja keras, tekun, rajin, bersungguh-sungguh, bertanggongjawab, ikhlas dan sempurna.


KERJAYA SEORANG WANITA ISLAM:


Wanita sebahagian daripada masyarakat. Peranan dan tanggongjawab wanita dalam kerjayanya dan pembentukan ummah sangat penting. Wanita perlu mempunyai pengetahuan yang konkrit dan pemahaman yang jelas agar dapat memberi sumbangan dan perkhidmatan mengikut saluran yang dibenarkan oleh tradisi dan syariat Islam. Kurang pemahaman mengenai kedudukan, peranan dan tanggongjawab serta hak wanita dari segi Tassawur Islam menyebabkan ada pandangan golongan sekularis yang menyatakan wujud diskriminasi Islam terhadap wanita.

Islam telah meletakkan martabat wanita di tempat yang paling mulia dan tinggi di sisi Allah. Siti Hawa sebagai wanita pertama yang dijadikan oleh Allah S.W.T menjadi pasangan kepada Nabi Adam A.S.

Firman Allah S.W.T, 'Wahai sekalian manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kerabat kamu kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu. (An -Nisa:1).

Dewasa ini peranan wanita telah melangkah satu jangkauan yang jauh dari rumah kepada kerja di luar rumah. Wanita pada hari ini tidak lagi menganggap menjadi isteri dan ibu sebagai satu kerjaya tetapi mengutamakan bekerja dalam pelbagai profesion di luar rumah yang secara umumnya menyimpang dari tradisi Islam. Ini kerana kebanyakan wanita pada masa ini sama ada secara sedar atau tidak secara sedar telah menerima pemahaman golongan sekularis yang meletakkan hak wanita itu sama dengan hak laki-laki.

Justeru itu sistem sosial yang berlandaskan Islam yang menganggap Islam sebagai satu cara kehidupan (way of life) telah tidak diamalkan dan masyarakat tidak dapat membezakan di antara bekerja sebagai satu ibadah dengan bekerja semata-mata untuk mencari nafkah dan kewangan untuk hidup di dunia ini.

Firman Allah S.W.T, 'Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu, dan dirikan sembahyang serta berilah zakat, dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semua itu) hanyalah hendaklah menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai 'Ahlul Bait' dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji). (Al-Ahzab:33).


Di dalam Al-Quran terdapat ayat-aysat yang memberi peringatan dan amaran kepada wanita supaya menjaga akhlak, mengutamakan kehidupan di dunia dan di akhirat. Amaran balasan azab dan peringatan supaya menjaga adab dalam rumahtangga.


Firman Allah S.W.T, 'Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka).(At-Taubah:24).


Kerjaya wanita Islam ia lah sebagai isteri yang solehah dan seorang ibu mithali serta pendidik anaknya. Allah S.W.T telah menciptakan kaum wanita dengan dilengkapi sifat kerohanian dan jasmaninya sesuai dengan fitrahnya untuk memikul tanggongjawab dan amanah sebagai seorang isteri sekaligus sebagai seorang ibu.


KERJAYA WANITA ISLAM SEBAGAI ISTERI:

Kerjaya sebagai isteri bukan sahaja di dapur, mengemas rumah, melayan suami dan anak-anak. Seseorang isteri berperanan besar membantu suaminya dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah S.W.T di atas muka bumi ini.

Isteri yang solehah menganggap rumah sebagai satu medan perjuangan bukan tempat yang mengongkong kebebasan mereka. Seorang isteri solehah tidak akan mempunyai cita-cita langsung untuk keluar rumah kononnya untuk mengejar kemajuan membela nasib kaum wanita, berkhidmat kepada masyarakat, mengejar kemajuan dan sebagainya kerana itu semua tidak menjamin rahmat dan keredhaan Allah S.W.T, bahkan mendedah diri kepada pelbagai fitnah.(Mohammad Baadawi : 39).

Al-Iman Al-Marhum Muhammad Khaidir Hussien telah menjelaskan dalam kitab 'As-Syariatul Islamiyyah Solihatun Likuli Zaman Wa Makan' tentang masalah kaum wanita yang meninggalkan urusan rumahtangga dan memegang jawatan umum. Beliau dengan tegas menjelaskan bahawa syariat Islam mengharamkan campurgaul antara laki-laki dan wanita. Bahkan wanita Islam juga tidak boleh memegang jawatan dari jawatan umum dan dilarang menyertai atau memasuki mana-mana kelab, persatuan-persatuan atau perhimpunan umum.(Mohammad Baadawi : 39 - 40).

Contoh wanita solehah ia lah Sayyidatinah Khadijah Bt Khuwalid. Sayyidatinah Khadijah Bt Khuwalid contoh isteri yang setia kepada suaminya (Rasulullah S.A.W). Segala harta kepunyaannya digunakan serta diserahkan kepada Rasulullah S.A.W untuk menyebarkan risalah Islam.(Mohammad Baadawi: 44).


SIFAT-SIFAT ISTERI SOLEHAH:


01. Mentaati perintah Allah S.w.T dengan mengerjakan segala perintah suami menurut kehendak Allah S.W.T.
02. Bersikap malu terhadap suami.
03. Hendaklah berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata.
04. Sentiasa melembut pandangan (percakapan) di hadapan suami.
05. Berdiri tegak sebagai menghormati suami datang dan pergi.
06. Hendaklah sentiasa menyerah diri apabila suami memerlukan.
07. Memakai wangi-wangian di hadapan suami (bersolek).
08. Menghias diri untuk suami.
09. Tidak berhias dan memakai wangian semasa ketiadaan suami.
10. Memelihara mulut daripada bau-bauan yang tidak menyenangkan suami.
11. Tidak mengkhianati dan melakukan curang terhadap suami semasa ketiadaannya.
12. Hendaklah sentiasa menghormati keluarga suami.
13. Hendaklah bersyukur di atas segala yang disediakan oleh suami.
14. Sentiasa bersedia serta rela disentuh oleh suami bila sahaja dikehendaki.
15. Tidak melakukan puasa sunat kecuali dengan keizinannya.
16. Tidak keluar rumah kecuali dengan kebenaran suami.

(Mohammad Baadawi : 28 - 29).


Untuk menjadikan isteri solehah perlu juga suami yang soleh.


CIRI-CIRI SUAMI SOLEH :

01. Mentaati Allah S.W.T dan RasulNya dengan mengerjakan segala perintahNya.
02. Mendiri rumahtangga semata-mata kerana Allah S.W.T.
03. Melayani serta menasihati isteri dengan sebaik mungkin.
04. Menjaga hati dan perasaan isteri.
05. Sentiasa bertolak ansur dan tidak meminta sesuatu di luar kemampuan isteri.
06. Bersabar dan menjauhkan diri daripada memukul isteri sehingga boleh memudaratkan dirinya.
07. Hendaklah menjauhkan diri daripada mengeji isteri di hadapan orang lain, sekalipun memuji wanita lain di hadapannya.
08. Bersabar dan menerima kelemahan isteri dengan hati terbuka kerana segala sesuatu dijadikan Allah S.W.T dan mempunyai rahmat disebaliknya.
09. Menggelakkan diri terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi suami sebagai seorang pemimpin di dalam keluarga.
10. Memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak mengikut kemampuan.
11. Menyedia tempat tinggal dan keperluan yang selesa untuk mereka (isteri dan anak-anak).
12. Bertanggongjawab mendidik akhlak isteri dan anak-anak berlandaskan kehendak Islam.
13. Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka.
14. Memberi kasih sayang dan berkorban apa sahaja demi kepentingan dan kebahgiaan bersama.

(Muhammad Baadawi: 30 - 31).

KERJAYA WANITA SEBAGAI IBU MITHALI:

Wanita sebagai ibu perlu menyedari bahawa anak-anak sebenarnya mengharapkan asuhan dan didikan yang sempurna. Ibu lebih rapat perhubungan dengan seseorang anak daripada bapa. Ibu pula menyedari bahawa anak-anak merupakan generasi masyarakat Islam yang akan datang. Kegagalan memberi pendidikan yang sempurna menyebabkan masyarakat Islam akan porak-peranda.

Pendidikan yang perlu diberikan ia lah 'Tarbiyah Islami' untuk melahirkan generasi yang bertaqwa. Perlu ada kesedaran kaum wanita sebagai ibu untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan nilai-nilai kehidupan Islam dalam diri nank-anak mereka agar mentaati ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Peranan pertama ibu bukan sekadar menyusui anak dengan susunya selama dua tahun tetapi juga apabila sudah pandai bertutur, mengajar anaknya 'Kalimah Syahadat' dan ucapan-ucapan yang baik sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Apabila anaknya sudah pandai berlari hendaklah mengikutnya menunaikan solat dan bila berumur 7 tahun hendaklah mengesa anaknya menunaikan solat. Apabila berumur 10 tahun hendaklah dipukul jika enggan mengerjakan solat.

Para ibu perlu mendidik anak supaya berakhlak mulia dan sentiasa menceritakan tentang kehebatan pejuang dan pahlawan-pahlawan Islam. Kehebatan tokoh-tokoh pejuang dan pahlawan Islam akan menjadi perangsang dan contoh teladan kepada anak-anak mereka.

Apabila anak-anak itu sudah boleh membaca perlu diajar membaca bahan-bahan bacaan yang mengandungi unsur-unsur pendidikan Islam agar akidah dan pemikiran anak-anak tidak rosak. Contoh keibuan yang tulen ada pada diri Asma' bt Abu Bakar. Anaknya Abdullah bin Zubir semenjak kecil terdidik supaya tidak takut kepada sesiapa selain dari Allah S.W.T.(Muhammad Baadawi :51).

Beliau tetap memberi perangsang kepada anaknya dan rela anaknya mati syahid dibunuh oleh tentera Yazid bin Muawiyah dengan memenggal kepada, tubuh disiat serta dipamerkan dikhalayak ramai sebagai amaran kepada penentang pemerintahan Yazid bin Muawiyah yang bertentangan dengan syariat Islam.

Wanita Islam seharusnya tidak berasa kolot dan hina diri menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Ukuran ketinggian martabat dari segi Islam bukan terletak pada jawatan, pangkat dan harta benda tetapi terletak kepada iman dan taqwa.

Ketinggian darjat wanita solehah terunggap dalam hadith Rasulullah S.A.W,'Seseorang wanita apabila mengerjakan sembahyang lima waktu dan berpuasa dalam bulan Ramadhan dan memelihara kehormatannya dan taat kepada suaminya, masuklah ia ke syurga melalui mana-mana pintu yang ia kehendaki'.(Hadith riwayat Imam Ahmad).


KERJAYA DALAM PENDIDIKAN:

Wanita tidak ditegah bekerja di luar rumah asalkan kerja itu tidak menimbulkan fitnah dan mendapat kebenaran suami serta kerja yang diceburi itu tidak ditegah dan halal dari segi syariat Islam.

Bekerja sebagai pendidik sangat sesuai dengan sifat dan fitrah seorang wanita kerana kaum wanita memiliki kerohanian dan jasmani yang lemah lembut.

Kerjaya sebagai pendidik hendaklah pendidikan yang bersumberkan Al-Quran dan Hadith. Dalam pendidikan itu ada integrasi disiplin ilmu akal ke arah membina masyarakat dan ummah yang berteraskan akidah.

PENDIDIKAN ISLAM MESTI BERASASKAN PRINSIP-PRINSIP BERIKUT:

1. Memahami penciptaan manusia dari perspektif Islam.
2. Memahami sumber ilmu dalam Islam dari Al-Quran dan Hadith.
3. Memahami martabat ilmu dalam Islam yang meliputi ilmu asas ia itu Akidah, Syariah dan Akhlak; ilmu pelengkap ia itu ilmu sains, perubatan, ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan dan sebagainya.
4. Pengisian ilmu menjurus kepada pembinaan tiga fakulti manusia, ia itu akal, roh dan jasad.
5. Perkembangan ilmu mestilah berpaksikan Tauhid.

(Dr Tajul Arifin Nordin : ix - x)


PENDIDKAN ISLAM MESTI MEMAINKAN PERANAN SEPERTI BERIKUT:-

1. Mengajak manusia beriman, mentaati dan mentauhidkan Allah.
Firman Allah S.W.t, 'Sesungguhnya orang yang beriman hanyalah orang beriman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa pada jalan Allah, mereka itu lah orang yang benar'(Al-Hujurat : 15).
2. Memupuk akhlak mulia (Firman Allah: Al-Isra : 23 - 29).
3. Menanam keyakinan tentang keperluan ilmu pengetahuan dan ilmu berpunca dari Allah.
4. Menyedarkan manusia tentang peranannya sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.
5. Pembentukan insan soleh.
6. Pembentukan masyarakat soleh.

(Abdul Raof Dalip : 7 - 9).

Perlu juga dicontohi dan diambil ikhtibar dari peranan Luqman Al-Hakim seorang hamba Allah yang soleh yang telah dikurniakan Allah S.W.T dengan ilmu pengetahuan dan hikmah kebijaksanaan.

PESANAN LUQMAN AL-HAKIM KEPADA ANAKNYA MENGANDUNGI TIGA PERKARA:-

1. Untuk mengekalkan dan menyelamatkan akidah.

Firman Allah S.W.T,'Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepada anaknya, 'Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu ada lah kezaliman yang besar.(Luqman : 13).

2. Untuk mengingatkan kekuasaan Allah S.W.T atas segala sesuatu dan Allah S.W.T Maha Mengetahui segalanya.

Fiman Allah S.W.T,(Luqman menasihati anaknya dengan berkata),'Wahai anak kesayangangku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tentu akan di bawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya) kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya, lagi Amat meliputi akan segala yang tersembunyi.(Luqman : 16).

3. Untuk membentuk peribadi mulia.

Firman Allah S.W.T, 'Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu ada lah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambilberat melakukan.'(Luqman : 17).


(BAHEIS JPM Cetakan Kedua : 38 - 39).



KESIMPULAN:


Wanita Islam merupakan aset penting untuk membentuk generasi Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan Hadith.Jika rosak akhlak wanita Islam maka akan rosaklah umat Islam pada masa depan. Wanita Islam berperanan membentuk 'Pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara'. Justeru itu akhlak wanita Islam haruskan bersendikan akidah Islamiah.