Isnin, 31 Ogos 2009

PERANAN PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU DALAM PROSES PENDIDIKAN DI SEKOLAH.

1. PENDAHULUAN:

PIBG yang ditubuhkan di sekolah seharusnya berfungsi sebagai satu 'Majlis' bukan satu 'Pertubuhan' yang terasing di sekolah. Kalaupun disebut sebagai 'Persatuan' hanyalah sebagai satu 'Kumpulan Seminat' sahaja. Maksudnya kumpulan orang yang prihatin kepada masalah pendidikan. Mereka terdiri daripada ibu bapa dan guru.

PIBG sepatutnya dijadikan sebagai satu 'Medan' mengadakan 'Forum' untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran serta berunding (musyawarah) dalam suasana muhibbah bagi menyelesaikan masalah sekolah supaya dapat meningkatkan kecemerlangan pendidikan sekolah.

Konsep PIBG membantu sekolah ini bermatlamat meringankan dan melicinkan perlaksanaan Program Pendidikan Sekolah dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah dan budaya sekolah termasuk pembangunan infrastruktur (Prasarana fizikal).

PIBG tidak boleh campurtangan dalam urusan pengelolaan dan pentadbiran sekolah. Ini kerana seseorang Pengetua atau Guru Besar sebagai Pengurus Sekolah telah dipertanggongjawabkan dengan Perintah-Perintah Am (General Order) mengenai arahan pentadbiran oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk dilaksanakan.

Justeru kerana itu PIBG mesti mengetahui dan memainkan peranan mengikut bidang tugas yang sewajarnya agar tidak menyeleweng dari fungsi sebenar penubuhan PIBG.

2. PROSES PENDIDIKAN DI SEKOLAH:


Pendidikan ia lah proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, nilai murni dan kemahiran-kemahiran. Proses pemerolehan dan pemindahan ilmu ini berlangsung secara berterusan dalam diri seseorang sejak dari 'janin' hingga ke akhir hayat.

Proses pendidikan secara berterusan ini terkandung dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak, bertanggongjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara".

Matlamat pendidikan seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan rakyat dan warganegara yang baik. Pada amnya insan yang baik ia lah insan yang memiliki sahsiah yang seimbang dan bersepadu. Ia memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:-

a. Percaya dan patuh kepada Tuhan.
b. Berilmu pengetahuan dan berfikiran kreatif dan rasional.
c. Berakhlak mulia.
d. Berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan
negara.
e. Setia kepada negara dan bertanggongjawab untuk menjaga hubungan yang baik dan
mesra antara insan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia.

Bagi mencapai hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut maka perlu ada penglibatan semua pihak dalam proses pendidikan. Sehubungan dengan itu PIBG mempunyai ruang dan tanggongjawab yang boleh dimainkan peranan ke arah melahirkan insan yang baik dengan kerjasama pihak Pengurusan Sekolah.

3. BIDANG TUGAS PIBG:

Bidang tugas PIBG sepatutnya merangkumi perkara-perkara berikut:-

a. Memberi perkhidmatan untuk kebajikan dan kemajuan murid-murid di sekolah.
b. Membantu menambah usaha sekolah memenuhi keperluan dan kehendak kebendaan
murid-murid dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, budaya sekolah dan bidang
yang difikir perlu.
c. Ibu bapa dan guru di sekolah boleh bertukar-tukar fikiran dan maklumat serta
berunding dalam suasana muhibbah mengenai usaha meningkatkan taraf pelajaran
murid-murid sama ada di rumah atau di sekolah.
d. Bergotong-royong menyediakan kemudahan untuk faedah murid-murid.
e. Menentukan murid-murid mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk belajar dan
membuat kerja-kerja sekolah mereka dengan baik sama ada di sekolah atau di rumah.
f. Membantu mewujudkan persekitaran sekolah (budaya sekolah) yang boleh mendorong
ke arah perkembangan pengajaran dan pembelajaran untuk perkembangan jasmani
rohani, emosi dan intelek murid secara menyeluruh dan bersepadu.
g. Membantu pembangunan fizikal (infrstruktur) sekolah yang diperlukan dengan
serta-merta.

4. KEKANGAN DAN HALANGAN:

a. Ibu bapa:

i. Kebanyakan ibu bapa mempunyai tahap pelajaran yang rendah dan terlalu sibuk
dengan tugas mencari nafkah.
ii. Ibu bapa meletak tanggongjawab mendidik anak-anak mereka 100% kepada guru.
iii. Ibu bapa kurang memberi keutamaan kepada masalah persekolahan dan pendidikan
anak-anak mereka.
iv. Ibu bapa tidak mahu hadir ke sekolah berjumpa dan berbincang dengan guru atau
berunding dengan guru berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka.
v. Ibu bapa beranggapan menghadiri upacara rasmi sekolah sebagai perkara membuang
masa.
vi. Kebanyakan ibu bapa berasa rendah diri dan beranggapan mereka tidak setaraf
dengan guru.
vii. Kebanyakan ibu bapa bekerja sendiri dan pendapatan di bawah paras kemiskinan
serta pendapatan tidak tetap.


b. GURU:

i. Ada sebilangan guru tidak mengajar bersungguh-sungguh dan beranggapan mereka
bekerja semata-mata makan gaji.
ii. Guru tidak berusaha menjalin hubungan dan pergaulan dengan ibu bapa.
iii. Kerapkali salahlaku murid tidak dimaklum kepada ibu bapa terlebih dahulu.
iv. Guru kurang mengadakan kelas bimbingan, kelas pemulihan dan kelas tambahan.
v. Guru kurang menggunakan ABM dan ABB semasa mengajar.
vi. Kurang latihan pengukuhan diberi kepada murid.
vii. ABM dan BBM tidak mencukupi dan tidak releven.
ix. Pengajaran guru kurang terancang.
xi. Guru terpaksa mengajar bilangan murid yang ramai di kelas.
xii. Guru kurang membuat ujian dan penilaian.
xiii. Perhubungan guru dengan murid kurang mesra.

c. MURID-MURID:

i. Murid-Murid tinggal jauh dari sekolah.
ii. Murid-murid terpaksa berjalan ke sekolah.
iii. Murid-murid tidak ada kemudahan belajar di rumah.
iv. Murid-murid tidak mempunyai perbelanjaan wang saku yang mencukupi ke sekolah.
v. Murid mempunyai masa belajar yang kurang di rumah.
vi. Murid-murid tidak belajar di rumah.
vii. Murid-murid tidak peduli dengan kerja rumah yang diberi oleh guru dan tidak
buat kerja rumah.
viii. Murid-murid tidak mempunyai bahan bacaan di rumah.
ix. Murid-murid kurang menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
x. Murid-murid kurang menggunakan kemudahan perpustakaan.

5. PENYELESAIAN MASALAH:

a. IBU BAPA:

i. Pihak pengurusan Sekolah dengan kerjasama PIBG perlu mengatur rancangan dan
aktiviti untuk menyedarkan ibu bapa dan masyarakat bahawa tanggongjawab
mendidik anak-anak mereka bukan seharusnya diletakkan 100% kepada guru-guru
di sekolah.
ii. PIBG perlu mengadakan aktiviti ke arah membantu ibu bapa dan masyarakat
memperolehi ilmu dan kemahiran serta membina sikap yang positif dan sesuai.
Aktiviti itu hendaklah berkaitan dengan perkembangan menyeluruh dan bersepadu
anak-anak mereka dari segi jasmani, emosi rohani dan intelek.
iii. Di samping itu kesedaran haruslah dipupuk di kalangan ibu bapa bahawa
tanggongjawab memberi pendidikan yang sebenarnya (hakiki) bermula di rumah dan
dikembangkan di sekolah oleh guru-guru sama ada di bilik darjah atau di luar
bilik darjah melalui aktiviti ko-kurikulum sekolah. Kemudian murid itu sendiri
mengamalkan dan menghayati segala ilmu yang diperolehi itu dalam kehidupan
sehari-harian.

b. GURU:

Guru -guru hendaklah sedar bahawa tugas utama mereka bukan hanya semata-mata menyampai ilmu kepada murid-murid dibilik darjah sahaja tetapi guru mesti memainkan peranan seperti berikut:-

i. Guru sebagai perancang, fasilitator dan pengurus pengajaran dan pembelajaran.
ii. Guru sebagai pengembang dan pengukuh penguasaan kemahiran.
iii. Guru sebagai pembentuk akhlak.
vi. Guru sebagai contoh teladan (Rule Model).
v. Guru sebagai agen perubahan Masyarakat.


6. KESIMPULAN:


Dalam melaksanakan tanggongjawab dan amanah memajukan pendidikan adalah diharapkan pihak guru dan AJK PIBG dapat menghayati konsep etika kerja yang selaras dengan nilai-nilai murni Islam.

Di antara etika kerja mengikut nilai-nilai Islam ia lah:-

i. Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah.
ii. Bekerja denga ikhlas dan amanah.
iii. Bekerja dengan tekun dan cekap.
vi. Bekerja dengan semangat gotong-royong dan musyawarah serta berpandukan fikiran
yang bersih.
v. Bekerja dengan matlamat untuk kebahgiaan manusia sejagat di dunia dan
di akhirat.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Zariat: 56.

Maksudnya "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku".

Sabtu, 29 Ogos 2009

Perutusan Amanat Pengetua SMK Cherang Ruku.

Kesempatan ini ingin saya menyampaikan amanat untuk menentukan halatuju SMK Cherang Ruku.Saya ingin menggariskan visi untuk menjadikan SMK Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang menjelang tahun 2010 melalui pernyataan misi seperti berikut:-

1. Mewujudkan suasana persekitran sekolah yang kondusif bagi perkembangan potensi individu murid untuk cemerlang dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum dan sahsiah.
2. Memupuk suasana mesra murid dan mesra guru untuk memimpin, mentadbir dan mengelola sekolah dengan cekap dan berkesan.
3. Memberi keutamaan kepada "core business" dan memotivasi warga sekolah ke arah penambahbaikan yang berterusan melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
4. Menjalin hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti.

Guru perlu sedar bahawa memberi ilmu dan mendidik murid untuk kesejahteraan masa depan merupakan tanggongjawab dan amanah yang amat berat yang perlu dipikul bersama dengan iltizam yang tinggi selaras dengan visi dan misi sekolah. Visi perlu diterjemahkan melalui perbuatan dan amalan seharian sebagai seorang guru berkualiti dengan melaksana kerja buat yang berkualiti supaya SMK Cherang Ruku sentiasa berada pada tahap yang tinggi dan cemerlang.

Beberapa strategi ke arah menjadikan SMK Cherang Ruku sebagai sekolah cemerlang memerlukan usaha memperkasa SMK Cherang Ruku ke arah sekolah cemerlang dan institusi pendidikan yang berkualiti.

Strategi pertama ialah melaksanakan tadbir urus yang baik (Good Governance). Guru-guru SMK Cherang Ruku perlu sedar bahawa "Core Business" atau tugas utama mesti berfokus kepada pelaksanaan kurikulum. Guru mengajar dan murid belajar. Guru mesti menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah berkualiti. Guru hendaklah melaksanakan aktiviti ko-kurikulum di dalam dan di luar bilik darjah. Segala kerja buat guru perlu membantu ke arah penyuburan IQ, EQ, SQ dan ESQ murid secara menyeluruh dan bersepadu.

Guru mesti bersedia menerima perubahan dan memahami perubahan persekitaran sekolah serta mengambil langkah sewajarnya seiring dengan perubahan itu. Guru perlu mengiringi perubahan dan tidak ditinggalkan oleh perubahan itu. Guru berkualiti ia lah guru yang boleh menjadi agen perubahan masyarakat bukannya masyarakat mengubah guru. Guru perlu berkualiti sebelum boleh menjadikan muridnya berkualiti. Guru bukan sahaja melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Aspek perkembangan sahsiah dan kehidupan bagi masa hadapan murid perlu diberi keutamaan dalam usaha menjana sekolah cemerlang.

Justeru itu semua guru perlu membuat refleksi diri dengan melihat di mana kita berada dan ke mana matlamat perjuangan kita. Apakah sumbangan kita kepada murid sudah memadai dan berada pada tahap cemerlang. Apakah kita hanya sekadar melihat perubahan atau perubahan yang meninggalkan kita. Umpama seorang penumpang yang ditinggalkan oleh keretapi. Atau seperti seorang berada di dalam rumah kaca yang sekadar melihat perubahan tanpa berbuat apa-apa.

Strategi kedua ialah mengurus masa yang bermanfaat. Guru perlu menggunakan masa yang ada dan ditetapkan dalam jadual waktu pengajaran dan takwim sekolah secara berhemah dan bijaksana. Guru perlu mengelak diri melakukan aktiviti yang tidak bersangkutpaut dengan "Core Business". Masa perlu diurus dengan berhemah dan teliti agar ia memberi pulangan berganda. Guru perlu masuk kelas awal dan mengajar dengan berkesan. Tidak membuang masa dengan berborak kosong di bilik guru atau menggunakan masa yang lama berada di kantin. Masa digunakan dengan baik untuk mendapat pulangan berganda.

Guru perlu hadir awal 15 minit dari loceng dibunyikan dan tidak berasak-asak menulis kehadiran di kaunter Pejabat Am kerana waktu itu sepatutnya guru berada dalam bilik darjah. Pulang 15 minit lewat agar tidak berlumba-lumba pulang dengan murid-murid. Pastikan semua murid pulang barulah guru boleh pulang. Datanglah ke sekolah dengan riang dan pulang dengan tenang.

Strategi ketiga ialah meningkatkan integriti sebagai seorang guru berkualiti dan cemerlang. Guru hendaklah memahami dan melaksanakan bidang tugas serta tanggongjawab yang diamanahkan. Disamping melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru diberi tanggongjawab sebagai wakil ibu bapa di sekolah. Dalam istilah bahasa latin disebut "in loco parentis". Tanggongjawab bermula daripada guru mata pelajaran, guru kelas sehingga sebagai guru penasihat bagi aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya. Tanggongjawab ini mesti diberi fokus yang betul. Murid dibimbing dan diberi pendidikan berkualiti agar mereka berilmu pengetahuan tinggi, memiliki kepintaran pelbagai dan bersahsiah cemerlang untuk menyediakan tenaga kerja yang 'compatible' dengan pasaran kerja masa depan.

Setiap murid dapat dijelmakan perwatakan tersendiri melalui etos dan budaya sekolah. Murid mempunyai watak cemerlang, berbudi bahasa, taat kepada agama dan Tuhan, berilmu dan berintelek, ada daya ketahanan fizikal, bersemangat sukan (sportmanships) dan 'gentlemen' yang bersedikan disiplin yang tinggi. Murid perlu dilatih dan berkemahiran tinggi.

Guru terlibat secara langsung dengan aktif sebagai penasihat olahraga dan permainan, guru penasihat persatuan dan kelab dan sebagai guru penasihat unit beruniform. Oleh itu pastikan setiap penglibatan guru itu memberi makna yang penting kepada bidang olahraga dan permainan, kelab dan persatuan serta unit beruniform. Setiap tahun pelbagai aktiviti ko-kurikulum dilaksanakan dan melibatkan tenaga, masa dan kewangan yang tidak sedikit.

Strategi keempat ialah meningkatkan prestasi pencapaian akademik. Pencapaian akademik sangat penting kerana apapun usaha kita pada akhirnya kecemerlangan akademik akan menjadi kriteria utama untuk mengukur prestasi kecemerlangan sekolah selain ko-kurikulum, disiplin, sahsiah serta kemasyarakatan.

Untuk memastikan kecemerlangan akademik dapat dilaksanakan dengan berkesan guru dan murid perlu menyediakan fail merekod pencapaian akademik bagi setiap mata pelajaran terutama PMR, SPM dan STPM.

Guru mata pelajaran dan murid perlu menyediakan lengkok pencapaian akademik bagi setiap mata pelajaran. TOV setiap mata pelajaran bagi setiap murid ditentukan berdasar keputusan peperiksaan akhir tahun. Bagi tingkatan tiga berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun tingkatan dua. Bagi tingkatan lima berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun tingkatan empat. Tingkatan enam atas berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun enam bawah. Kemudian guru menentukan ETR yang perlu dicapai.

Bermula dengan TOV itu dilaksanakan OTI bagi setiap pencapaian yang dicapai murid-murid berdasarkan ujian pengesanan, peperiksaan penggal dan percubaan. Kemudian dibuat graf TOV dan OTI untuk melihat ATR ia itu pencapaian sebenar sama ada di bawah ETR atau di atas ETR. Jika keputusan itu di bawah ETR, maka perlu dirangka satu program pemulihan. Jika keputusan di atas ETR dirangka program pengkayaan agar ATR berada pada tahap setinggi mungkin atau cemerlang.

Saya menaruh harapan penuh agar guru tidak memandang ringan dan mudah membuat lengkok pencapaian akademik ini serta beranggapan sebagai satu kerja membebankan dan remeh. Graf ini perlu dibuat sendiri oleh murid-murid dengan bimbingan guru agar murid-murid dapat melihat pencapaian akademik mereka sebagai persediaan untuk peperiksaan sebenar PMR, SPM dan STPM nanti. Jika lengkok pencapaian akademik dapat dilaksanakan secara berkesan maka tidak ada sebab kecemerlangan akademik tidak dapat dicapai.

Anggapan bahawa murid kita lemah, pencapaian sekolah sederhana dan kita bukan sekolah kawalan perlu dikikis dari pemikiran. Kita boleh bersaing dengan semua sekolah jika kita bekerja kuat dan komited ke arah kecemerlangan dan berusaha gigih untuk merealisasikn kecemerlangan pendidikan sekolah.

Akhir kata marilah kita bersama-sama berazam dan bekerja agar amanah yang diserahkan kepada kita oleh setiap ibu bapa dapat kita tunaikan sebaik-baik mungkin. Marilah kita bertekad agar kita dapat mencapai kejayaan cemerlang dan gemilang. Marilah kita bertekad agar tahun ini kita dapat memperkasakan SMK Cherang Ruku sebagai Sekolah Cemerlang dan Sekolah Bestari. Marilah kita bersama-sama meningkat integriti guru-guru SMK Cherang Ruku dan mencipta kecemerlangan.

Ingatlah masa depan anak didik kita amat bergantung kepada kejayaan dan kemantapan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah serta program dan aktiviti pendidikan yang kita rancang dan laksanakan. Kejayaan itu bergantung kepada kecemerlangan setiap indidvidu jika dapat menjadi guru yang berkualiti. Amanah yang kita pikul amat berat dan bukan sahaja dinilai semasa kita berkhidmat di SMK Cherang Ruku malah selepas kita tiada lagi di sini.

Saya doakan semoga kita barisan guru-guru SMK Cherang Ruku menjadi guru yang berkualiti dan dapat bekerja dengan ikhlas serta komited kepada tugas masing-masing. Saya berharap agar kita dapat menjana mutu kerja cemerlang untuk mencapai kecemerlangan. Usaha memperkasa SMK Cherang Ruku akan menjadi kenyataan. Semoga setiap azam, setiap doa dan setiap impian serta harapan semua guru dan murid akan dapat dicapai dan terlaksana serta menjadi kenyataan.

Saya sudahi amant saya ini dengan memohon maaf jika bicara terkasar bahasa dan keterlaluan cara. Mana yang baik datang dari Allah SWT dan segala kelemahan adalah milik saya.


Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sekian, terima kasih.

Ahad, 16 Ogos 2009

PESANAN PENGETUA SMK CHERANG RUKU JADILAH SEORANG GURU YANG BAIK.

1. Guru yang baik sentiasa hadir sekolah sekurang-kurangnya 15 minit awal dan balik setelah semua kerja ditunaikan.
2. Menyampaikan pengajaran secara berkesan dan tidak hilang sabar dengan kerenah pelajar.
3. Boleh diharap dan sentiasa ada bila diperlukan serta memiliki sifat ringan tulang.
4. Mempunyai hubungan yang akrab dengan rakan sekerja, pelajar dan ibu bapa.Kenali rakan sekerja, pelajar dan ibu bapa dengan lebih dekat.
5. Guru itu sentiasa hadir dalam setiap acara dan aktiviti sekolah dan sedia menyumbang tenaga menjayakan segala acara dan aktiviti sekolah dengan rela hati.
6. Guru memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta memiliki kemahiran berkomunikasi berkesan dan komunikasi interpersonal.
7. Memiliki ketrampilan dan penampilan diri dan di manapun berada, sifat seorang guru dapat dilihat dari segi personalitinya.
8. Sentiasa berlaku adil dan bijaksana serta 'gentlemen'.
9. Sentiasa hormat dan taat kepada Pengetua dan Pentadbir Sekolah serta sedia menjalankan tugas yang diarah dengan rela hati.
10. Tinggal dalam kejiranan sekolah dan boleh dihubungi jika diperlukan.
11. Memulakan kerja dengan niat yang betul, ikhlas dan sentiasa istiqamah serta taat kepada agama dan Tuhan.